SELANGOR

Luas penggunaan Waze, kerjasama rakyat diperlukan bantu Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Kerajaan Negeri berhasrat meluaskan penggunaan aplikasi Waze bagi memudahkan orang awam mengemukakan aduan berhubung kes jalan berlubang dan rosak supaya ia dapat dibaiki segera.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, applikasi itu terhad kepada masalah jalan di bawah tanggungjawab negeri sedangkan terdapat juga kerosakan jalan sepatutnya dipantau Kerajaan Persekutuan.

“Ada beberapa prosedur tidak membenarkan kita menggunakan peruntukan kepada jalan Persekutuan. Kalau dibenarkan, saya rasa kita lebih gembira kerana jumlah dan kapasiti kenderaan terutama kenderaan berat seperti di Pelabuhan Klang, Meru dan Jalan Kuala Selangor itu mempunyai kadar kerosakan lebih kerap.

“Walaupun dalam Perlembagaan ada Jadual 9 dan 10, tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Persekutuan tetapi bagi kami adalah kesejahteraan rakyat dan InsyaAllah isu jalan ini kita akan cuba cari mekanisme.

“Selain daripada lebarkan aplikasi Waze, kita juga mahu ada tindakan segera dilakukan daripada jabatan terbabit bagi menampal serta menyelesaikan masalah jalan berlubang,” katanya dalam satu wawancara khas menerusi program Bicara Politikonomi bertajuk ‘Hala Tuju Selangor 2019: Maju Bersama’ di TV1.

Penggunaan aplikasi Waze yang mula diperkenalkan pada 2016 selaras dengan hasrat ‘Smart Solution’ di bawah gagasan Smart State bagi memudahkan pengguna mengemukakan aduan kerosakan jalan.

Mengulas mengenai persoalan kilang haram, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri cuba memperketatkan peraturan kerana ia membabitkan isu berbangkit sebelum ini termasuk kewujudkan pusat kitar semula plastik yang diimport daripada luar negara.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut berharap kerjasama rakyat dalam menangani isu itu dan ia tidak mampu dijayakan jika berharap kepada penguatkuasa semata-mata.

Dalam wawancara sama, beliau turut menjelaskan pengguna yang berhadapan masalah mendapatkan bil air yang kini dikirimkan secara pos ke rumah berbanding serahan terus seperti yang diamalkan sebelum ini kepada Air Selangor supaya perkara itu dapat diselesaikan sebaiknya.


Pengarang :