Foto: Ehsan BERNAMA
NASIONAL

Mazlan kini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, hari ini dilantik menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman yang baharu berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pelantikan itu adalah menggantikan Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang memangku jawatan berkenaan, sebelum ini.

Beliau berkata, Mazlan seorang yang berpengetahuan luas dan berpengalaman ketika menerajui polis kontinjen Selangor dan masih meneruskan tugas sebagai Ketua Polis Selangor sehingga menemui pengganti baharu jawatan terdahulu beliau.

Foto: Ehsan BERNAMA

“Berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak pada tahun 2005, saya amat pasti beliau (Mazlan) bersedia dengan agenda transformasi JSJK tersendiri,” katanya selepas hadir majlis serah terima tugas pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis, di sini, lapor BERNAMA.

Turut dilantik pada hari yang sama adalah Datuk Abd Rahim Jaafar sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman yang baharu berkuatkuasa serta-merta.

“Beliau (Abd Rahim) menggantikan Datuk Abd Jalil Hassan yang memangku jawatan berkenaan, sebelum ini. Saya percaya, beliau akan memperkasakan lagi urus tadbir jabatan pengurusan bagi mengawal selia pelbagai aspek antaranya latihan, pembangunan kerjaya, saraan dan kebajikan seluruh warga polis.

“Abd Rahim juga akan kembali ke Kedah bagi menjalankan tugas sebagai Ketua Polis Kedah buat sementara waktu sehingga kami menemui pengganti baharu jawatan lama beliau.

“Beliau juga akan menguruskan hal berkaitan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang akan berlangsung, pada Mac ini,” katanya.

Pada majlis berkenaan, turut dipakaikan lencana pangkat kepada 19 pegawai kanan polis yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.


Pengarang :