PBTSELANGOR

MDKS bakal anjur Kursus Pengendalian Makanan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran bakal menganjurkan Kursus Pengendalian Makanan, di Dewan Sri Siantan, di sini, pada 26 Januari ini.

Siri pertama pelaksanaannya bertujuan memastikan pemilik premis dan peniaga pasar malam mengutamakan aspek kebersihan semasa mengendalikan makanan.

MDKS melalui kenyataan berkata, kursus itu penting selaras pemeriksaan dan penggredan premis di Pihak Berkuasa Tempatan terbabit, yang menekankan setiap pengendali makanan diwajibkan menghadiri kursus berkenaan.

“Ia secara tidak langsung membentuk pengendali makanan berdedikasi dengan memantapkan kebersihan persekitaran premis makanan, selain membudayakan etika dan cara kerja baik serta kecekapan tadbir urus.

“Selain itu, ia turut memberi peluang kepada peniaga dan orang awam untuk merujuk semula berkaitan tatacara betul semasa mengendali makanan,” katanya.

Yuran pendaftaran dikenakan bagi setiap penyertaan adalah RM50 dan peserta menerima sijil sebaik tamat kursus berkenaan.

Orang ramai yang berminat atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berhubung program itu boleh menghubungi urusetia di talian 03-32812235.


Pengarang :