SASTERA

Cerpen Ini Belum Siap

Oleh Mirza Danish

AKU masih belum selesai lagi menulis cerpen untuk dihantar kepada rumah penerbitan. Desakan kerja harian melampau membuatkan masa mencemburui. Ah, kelihatan Fikri sedang mengangkat tiga buah kotak dan juga Hazirah yang menyiapkan poster menggunakan perisian Adobe Illustrator. Mata tidak berhenti melilau melihat mereka membuat tugas harian. Di dalam pejabat ini, sememangnya masing-masing sibuk dengan skop kerja mereka termasuklah aku. Kantuk menyelubungi aku sedari tadi meskipun kopi telah diteguk beberapa kali.

Fikri menegur aku. Pandangan dikalihkan dan sekali lagi tumpuan aku terganggu. Aku menaip beberapa perkataan pada papan kekunci sebelum memulakan bicara. Nafas dihela panjang.

“Kau buat apa tu, Mi?”

“Kerjalah. Menulis copywriting ni.”

“Nampak macam kau tulis benda lain je.”

“Tak adalah. Yang ini format baru. Eh, pergilah buat kerja kau. Menyibuk pula kau kat sini!”

Fikri berlalu pergi mengangkat stok-stok barang yang baru sahaja sampai. Pandangan aku kembali pada skrin komputer. Tajuk untuk cerpen ditulis ini masih belum difikir. Kebiasaannya aku menulis tajuk dahulu, barulah cerita. Ini benar-benar lari dari kebiasaan. Fokus mulai hilang. Buku draf dibuka dan tertancap mataku pada lukisan Doraemon yang buruk. Jari-jariku mula menari sendiri.

Satu lukisan sudah siap sepenuhnya. Lukisan Doraemon dan Nobita memegang Kain Masa. Satu kebosanan sudah dibunuh. Selakan helaian demi helaian mencari draf ditulis tempoh hari. Menulis cerpen memerlukan draf. Perkara itu diajar sendiri oleh mentorku beberapa bulan lepas. Setiap pengalaman dan ilmunya diserap dan dipraktikkan. Beberapa cerpen ditulis mengikut draf akhirnya tersiar di media cetak. Gembira bukan kepalang. Kenangan itu sudah cukup untuk diceritakan pada anak-anak satu hari nanti.

Dalam kalangan rakan-rakan, mentorku digelar sebagai alien. Aku tidak pasti dari mana datang istilah alien itu, tetapi aku tahu dia bukanlah datang dari Marikh untuk menakluk bumi. Tiada apa yang boleh ditakluk di bumi ini. Ahli kleptokrat lebih bijak menakluk bumi daripada alien sendiri. Secara ringkas, aku mengaguminya kerana dia menulis terlalu banyak karya. Tidak cukup dikira dengan jari tangan dan juga kaki.

Cerpen ini memang lain dari yang lain. Meskipun sudah ditulis drafnya, tetap tidak dapat disiapkan. Seolah-olah tiada penghujungnya! Ia tidaklah menghantui dalam mimpi namun rasa gelisah mengganggu seharian. Ia seperti seekor semut yang merayap pada telinga. Sungguh terganggu rasanya.

Hazirah masih tekun menyiapkan poster. Suasana sunyi disulami bunyi ketikan tetikus membuatkan aku terpana. Aku fikir, bagaimana seorang pereka grafik bekerja siang dan malam hanya untuk menyiapkan sesuatu grafik. Kemudian, hasil kerja mereka ditolak bulat-bulat tanpa alasan kukuh hanya kerana tidak menepati citarasa majikan. Namun, atas dasar menjaga periuk nasi sendiri mereka (pereka grafik) terpaksa bersengkang mata sekali lagi untuk memuaskan hati majikan. Begitulah kehidupan. Kadangkala perkara pahit terpaksa ditelan semata-mata untuk teruskan hidup.

Ah, pedulikan mereka! Cerpen aku ini masih belum siap. Beberapa jam lagi berbaki sebelum aku perlu mengedit dan e-melkan cerpen ini pada penerbit. Tersangkut-sangkut aku menaip pada papan kekunci. Air liur ditelan rengkung. Orang besar keluar masuk dari pejabat utama. Serasanya mereka memerhatikanku sama ada membuat kerja atau tidak. Pengurus syarikat sekadar mengangkat tangan dan aku membalasnya dengan mengangkat kening (jari-jariku masih berada pada papan kekunci ketika ini).

Beg berwarna hitam diambil. Tangan menyeluk dan aku mengeluarkan beberapa buah novel untuk rujukan. Aneh. Aku tidak membawa novel mentorku hari ini. Hanya ada beberapa buah novel cinta saja yang aku bawa. Sebelum pergi kerja pagi tadi, aku yakin yang novel mentorku sudah dimasukkan ke dalam beg.

Beg hitam dihempas kuat. Hazirah berhenti menekan tetikusnya seraya berkata:

“Kau okey ke, Mi…”

“Buat sajalah kerja kau.”

Hazirah kembali menyiapkan poster. Suhu pendingin hawa yang rendah membuatkan Hazirah menggigil. Lihat sajalah sweater berbulu tebal yang dipakai. Punggungnya diangkat dan dia menuju ke tandas. Aku hanya mencebik mencari idea yang tidak kunjung. Mungkin aku boleh dapat khidmat nasihat dari mentorku, pasti dia ada jalannya!

Nama mentor ditaip pada papan kekunci. Hasil carian gagal. Dia tidak didapati pada mana-mana enjin carian. Aku tidak berpuas hati. Telefon diambil dan namanya ditaip sekali lagi. Terkejut bukan kepalang. Nombor mentor hilang sama sekali! Telefon dicampakkan tepat ke meja.

Aku mula percaya bahawa dia benar-benar alien di dalam tubuh seorang manusia bernama… Fikiran terhenti seketika. Nama dan wajah tidak dapat diproses dalam minda. Karya-karya beliau yang dibaca sebelum ini tidak dapat kuingat. Aku mencari gambar-gambarnya di media sosial. Ia ajaib sama sekali! Dia tidak wujud pada setiap gambar yang pernah diambil. Kewujudannya seolah-olah terpadam (atau dipadam)!

Mata kembali pada buku draf. Lukisan Doraemon bertukar kepada kepala serigala. Di tangan Nobita bukan Kain Masa yang dipegang tetapi Krim Jadian Serigala. Mata digosok-gosok. Aku tidak bermimpi rupanya. Kepala tidak gatal digaru.

Aku bingkas bangun pergi ke tandas. Usai membuang air, wajah dilihat pada cermin. Kelihatan wajah mentorku. Dia memakai pakaian yang sama sepertiku. Mata digosok-gosok. Mungkin aku terlampau fokus untuk menyiapkan cerpen agaknya. Kata orang, kalau kita terlampau mengidolakan seseorang, kita akan berubah menjadi sepertinya.

Aku kembali pada meja kerja. Fail cerpen dibuka dan aku menyudahkan ayat yang terakhir sebelum menamatkan cerpen yang belum siap. Malangnya, tiada penyudahan buat cerpen ini. Adakah aku sedang menulis cerpen tentang breaking the 4th wall? Persoalan itu hanya aku pendamkan seorang diri sebelum cerpen ini dihantar pada penerbit.

Kepalaku tiba-tiba sarat dengan idea. Jari-jemariku menaip dengan pantas pada papan kekunci.

“Banyak lagi yang aku perlu tulis ni,” ujarku sebelum Hazirah dan Fikri memandangku dengan mata yang terbelalak. Mereka berbisik sesama sendiri. Kata mereka, wajahku sudah menjadi orang lain.

Oh dan cerpen ini belum siap lagi.


Pengarang :