NASIONAL

Mekanisme tuntut nafkah dibawa ke Kabinet bulan depan

TELUK INTAN, 26 JAN: Mekanisme untuk mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian akan dibawa ke Kabinet, bulan hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, perkara itu kini berada pada peringkat akhir setelah pihaknya mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kewangan, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum dijangka dilaksanakan, pada tahun ini.

“Ini kerana mahkamah yang menumpukan soal tuntutan nafkah (isteri) dan anak juga ada kuasa ‘bail live’, bermakna kuasa penguat kuasaan kepada keputusan mahkamah yang dibuat tetapi tidak dilaksanakan.

“(Sebagai contoh), (suami) boleh pergi ke bank beri surat tunjuk sebab atau boleh teliti harta yang dia ada supaya bekas suami dapat membayar tuntutan nafkah kepada bekas isteri dan anak seperti diperintahkan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Islam Rahmatan Lil Alamin di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, mekanisme itu bagi membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan kaedah seperti menuntut nafkah daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan akaun bank suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan setelah diputuskan Mahkamah Syariah.

“Kebanyakan wanita tiada tempat mengadu dari segi penguat kuasaan, jadi kita melihat keperluan penguat kuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah diputuskan Mahkamah Syariah,” katanya.

Sebelum ini, Mujahid berkata, tindakan lebih tegas sedang dipertimbang kerajaan termasuk cadangan mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian.

Katanya, langkah itu bertujuan membela kaum wanita yang selama ini ditindas sesetengah suami yang tidak melaksanakan tangggungjawab membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :