GLOBAL

Salji tebal landa Austria, stesen ski ditutup

VIENNA, 11 JAN: Beberapa stesen ski atau meluncur salji terpaksa ditutup berikutan salji tebal yang melanda sebahagian kawasan di Austria.

Laporan AFP menyatakan, keadaan itu menyebabkan penghantaran garam bagi mencairkan salji tertangguh sekali gus menyukarkan usaha membersihkan jalan raya di negara itu.

Beberapa kawasan di barat dan tengahnya juga terputus hubungan akibat salji tebal hingga melebihi tiga meter itu.

Berikutan kejadian itu, pasukan keselamatan seperti anggota tentera dan bomba termasuk kakitangan awam serta sukarelawan bertungkus lumus membersihkan jalan raya juga bahagian yang tenggelam akibat salji tebal.

Jurucakap Institusi Meteorologi dan Geodinamik Pusat Austri, Alexander Radlherr berkata, secara statistik jumlah salji melanda melebihi 800 meter altitud dan hanya berlaku sekali dalam tempoh 30 hingga 100 tahun.

Manakala jurucakap syarikat pengeluar garam, Salinen Austria berkata, biarpun permintaan terhadap garam tetapi mereka berdepan masalah untuk menghantar bahan berkenaan berikutan kebanyakan jalan telah ditutup.

Sebahagian pekerja syarikat itu juga tidak dapat hadir ke ibu pejabatnya yang terletak di daerah pergunungan, Salzkammergut.

Selain itu, stesen meluncur salji di beberapa wilayah seperti Styria, Upper dan Lower Austria juga terpaksa ditutup, susulan kebimbangan berlakunya salji runtuh, kejadian pokok tumbang atau insiden terputus bekalan elektrik.

Langkah berjaga-jaga juga dikenakan di sebahagian kawasan di negara itu selepas tujuh peluncur salji dan pendaki terbunuh sejak Sabtu lalu manakala dua lagi pendaki dilaporkan masih hilang.

 


Pengarang :