NASIONALPENDIDIKAN

UiTM siasat dakwaan data peribadi pelajar bocor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 JAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi dalam talian membabitkan lebih sejuta pelajar dan alumni antara 2000 hingga 2018.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, langkah itu bagi memastikan tiada sebarang salah laku dalam kakitangan UiTM.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ia didapati berlaku di peringkat dalaman universiti.

“Tangkapan layar dipaparkan dalam sebuah laman portal hari ini menunjukkan format maklumat yang tidak diguna pakai atau dijana dari mana-mana sistem dalaman UiTM.

“Ini menunjukkan bahawa maklumat terbabit sudah diolah dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab, seterusnya mengesahkan maklumat ini bukan dijana ekoran penggodaman sistem UiTM.

“UiTM terus yakin bahawa sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman rasmi Facebook UiTM.

Terdahulu, beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap laporan portal Lowyat.net berhubung sejumlah 1,164,540 rekod data mahasiswa berdaftar dengan UiTM daripada pelbagai kursus antara 2000 dan 2018 dibocorkan dalam talian.

Portal berita teknologi itu melaporkan, pencerobohan data yang berlaku antara Februari dan Mac tahun lalu membabitkan pelajar dari kampus utama, iaitu di Shah Alam serta 13 lagi kampus seluruh negara.

Turut terjejas pelajar yang sudah berdaftar untuk kursus UiTM bertauliah di kolej luar seperti Kolej INPENS, Kolej Yayasan Terengganu, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Institut Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Kolej UNITI, Kolej Chermai Jaya, Kolej Lagenda Langkawi dan Institut Teknologi Perak.

Laporan yang memetik sumber itu turut mendedahkan, data bocor termasuk nombor pengenalan pelajar, nama pelajar, nombor MyKad, alamat, alamat emel, kod kampus, nama kampus, kod program dan nombor telefon bimbit.

Dr Hassan berkata, pihaknya memandang serius keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi universiti memandangkan terdapat dasar keselamatan ICT yang merangkumi pelbagai komponen termasuk perlindungan maklumat rahsia rasmi.

“Tahap keselamatan ICT UiTM diyakini setaraf dengan badan dan organisasi setara yang lain di Malaysia, ini dibuktikan dengan penerimaan pensijilan ISMS (Information Security Management System) ISO 27001:2013 oleh SIRIM QAS International Berhad, pada 14 Januari 2019,” katanya.


Pengarang :