SASTERA

Catatan yang Direnyuk ke dalam Kasut Seorang Politikus

(pada suatu pagi Tahun Baru)

 

Peparu kelabu jatuh sakit menumpangi

cuaca kota yang mahal. Betapa hayat

cuma pemetik api yang menyalakan matahari

di muncung pagi –uh, takdirnya memekat

sebagai asap dalam dada. Terima kasih Tuan,

kerna tak mau peduli. Aku terlalu kecil

untuk menjadi dendam atau api.

 

Kerana dilahirkan tanpa uniform

atau tag nama, aku hidup menjadi hal-hal

yang remeh. Alangkah, setelah mati

aku mahu pulang seperti lagu- para ibu

menyanyikannya ketika anak kelaparan

geliat di atas pangku . Atau menjadi

siaran radio yang disiulkan pemandu teksi,

di bangku belakang sepasang Kaukasian

bersenda tanpa peduli.

 

Tak perlu mencari, Tuan. Hidup jarang

berkongsi pilihan. Seribu kali mengehelkan

tengkuk dan temulang. Biar kali ini

aku menjadi gincu limunan, bekas kucupan

orang tuanya pada kening para yatim. Mimpinya

begitu manis, uh, mengapa bertaring sumpahan?

Atau menjadi sepi yang dihurung semut

di meja makan petani; kemarau nanti

mimpi usahlah menguning lagi.

 

Kalau nafas perlu dicukai, biar aku mati

menjadi hutang tertunggak. Segala

yang tak terlangsai, seperti sepasang lengan-

alas tidur para pengemis. Mimpinya,

kekasih tak kunjung datang. Betapa hidup

masih temujanji yang curang.

 

Salam hari baru, Tuan, pagi masih

menyala bagai trofi. Aku cuma hidup

demi dilupakan – tanda pangkah

pada kolum kalendar. Angka sa

pada banci yang dicicirkan;

 

Kecuali pada sekeping kertas pemilihan.

 

Fahd Razy

Bandar Baru Bangi

 


Pengarang :