Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
PBTSELANGOR

MPAJ komited tangani wabak denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 FEB: Lima lokaliti di sekitar Ampang Jaya dikenalpasti menjadi ‘hotspot’ denggi, sejak Januari lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, sebanyak 373 kes turut dilaporkan, setakat ini.

“Jumlah ini amat membimbangkan. Satu kematian juga dilaporkan membabitkan kes denggi, awal tahun ini.

“Manakala, lima kawasan ‘hotspot’ itu adalah di Taman Sri Angsana Hilit dan Jalan Jelatek yang mencatatkan 17 kes, Taman Bukit Teratai (21), Lembah Jaya Utara (44) dan Taman Kencana (10),” katanya.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata, MPAJ akan terus komited melaksanakan tindakan kawalan dan mempergiatkan aktiviti promosi dan pendidikan, di sekolah.

Selain itu, beliau turut menyarankan penduduk supaya memastikan kawasan kediaman bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.

Semalam, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk menjalankan kerja pembersihan dan penghapusan khas di kawasan yang mencatatkan kes denggi.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan menjalankan tindakan pencegahan dan pengawalan yang lebih bersepadu dengan segera.

 


Pengarang :