NASIONALSUKANKINI

Ratu skuasy negara umum persaraan

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Selepas lebih 20 tahun bergiat aktif, ratu skuasy negara, Datuk Nicol David mengumumkan akan menamatkan kariernya sebaik berakhirnya musim Jelajah PSA 2018, pada 19 Jun ini.

Juara dunia lapan kali itu membuat keputusan terbabit selepas berbincang bersama keluarga dan jurulatih, Liz Irving, yang menjadi tulang belakang kejayaannya sehingga kini.

“Ini adalah saat yang perlu dilalui setiap atlet, iaitu untuk meneroka apa yang boleh dilakukan dan saya kini bersedia melakukan lebih daripada jelajah profesional. Keputusan ini sudah saya fikirkan untuk beberapa waktu dan saya tahu ini adalah musim terakhir saya.

“Fikiran dan badan saya sudah bertarung untuk terus kekal berada di puncak permainan buat masa yang lama, yang membuatkan saya rasa ini adalah musim terakhir saya boleh melakukan sehabis baik sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Nicol, 36, memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu dunia, iaitu selama sembilan tahun, sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily, pada 2015.

Pemain yang kini di ranking ke-21 dunia itu sudah mengecapi kesemua kejuaraan, termasuk lapan kali bergelar juara dunia, selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.

Beliau mula bermain skuasy seawal usia lima tahun dan memulakan karier sebagai pemain, pada 1992 apabila merangkul pingat perak dalam Kejohanan Remaja Pulau Pinang.

Beliau merangkul gelaran dunia pertama tujuh tahun kemudian pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.

Anak jati Pulau Pinang itu akan bertanding pada Kejohanan Dunia di Chicago, pada 23 Februari hingga 2 Mac ini dengan beliau diletakkan sebagai pemain pilihan ke-13 dan kemudiannya berjanji akan bertemu media, pada 27 Mac ini di Kuala Lumpur.


Pengarang :