EKONOMINASIONAL

Saham KL dibuka tinggi, jejaki ekuiti serantau

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Saham di Bursa Malaysia menerusikan aliran meningkat sepertimana semalam untuk dibuka tinggi hari ini didorong sentimen pasaran positif oleh peningkatan ekuiti serantau.

Pada jam 9.16 pagi, petunjuk asas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,694.87, naik 2.13 mata berbanding 1,692.74 pada penutupan Isnin.

Indeks dibuka 1.29 mata lebih kukuh kepada 1,694.03.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.09 peratus kepada 3,268.82, Indeks Komposit Jakarta naik 1.70 peratus kepada 6,497.81 dan Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 1.60 peratus kepada 28,347.01.

Dalam nota, Public Investment Bank Bhd berkata FBM KLCI akan meneruskan aliran meningkat hari ini berikutan ekuiti serantau memulakan minggu ini dengan peningkatan kukuh, dipacu penutupan kukuh di Wall Street pada Jumaat.

“Saham di seluruh Asia Pasifik bermula dengan amat baik selepas penurunan meluas pada Jumaat, berikutan keyakinan positif terhadap perang perdagangan tidak akan berlarutan yang diterjemahkan di Wall Street berikutan langkah interim untuk terus memasuki pasaran di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Wall Street ditutup semalam kerana cuti umum bagi memperingati George Washington, presiden pertama Amerika Syarikat.

Antara saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank naik satu sen kepada RM9.49, Public Bank kekal pada RM25, Tenaga susut dua sen kepada RM12.98 dan Petronas Chemicals naik 16 sen kepada RM8.73.

Bagi saham aktif, EA Holdings dan TRC Synergy masing-masing naik satu sen kepada 2.5 sen dan 58.5 sen, manakala Bumi Armada susut setengah sen kepada 22 sen.

Indeks FBM Emas turun 15.56 mata kepada 11,796.27, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 22.19 mata kepada 11,725.91 dan FBMT 100 naik 15.34 mata kepada 11,657.29.

Indeks FBM Ace 18.28 mata lebih tinggi kepada 4,672.46 dan FBM 70 naik 21.47 mata kepada 14,093.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 17.50 mata kepada 17,670.35, Indeks Perladangan turun 8.03 mata kepada 7,317.88 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 1.06 mata lebih tinggi kepada 164.63.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 155 berbanding 123, manakala 240 kaunter tidak berubah, 1,336 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 220.83 juta saham bernilai RM87.96 juta.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :