Ringgit diniaga dalam jajaran kecil minggu depan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Ringgit diniaga dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, ekoran sentimen pelabur masih dipengaruhi faktor global.

Ia termasuk rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta kebimbangan berkenaan pertumbuhan global yang perlahan.

Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata, unit tempatan akan turut mencatat prestasi baik sejajar dengan mata wang pasaran sedang pesat membangun lain, berbanding dolar UAS minggu depan, kebanyakannya turun naik dalam julat 4.07- 4.09 berbanding dolar US.


“Minggu depan, prestasi dolar US mungkin dipengaruhi oleh ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell, yang mempunyai potensi untuk menawarkan lebih banyak petunjuk mengenai dasar monetari AS,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Otunuga berkata, pelabur terus memerhatikan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku keempat 2018 yang akan diumumkan pada 28 Feb.

“Data itu dijangka memberi pasaran gambaran yang lebih jelas mengenai ekonomi AS, susulan data bagi barangan tahan lama dan jualan rumah yang lebih rendah daripada jangkaan baru-baru ini,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding dolar US, dengan sentimen pasaran disokong oleh minat untuk mengambil risiko yang lebih baik susulan keyakinan pelabur terhadap hasil rundingan perdagangan AS-China, harga minyak mentah yang lebih kukuh dan sentimen pasaran yang positif di negara ini.

Faktor menyakinkan itu mendorong unit tempatan naik kepada 4.0640/0700 berbanding dolar US pada Rabu, paras tertinggi dicapai sejak 1 Ogos, 2018.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit lebih tinggi kepada 4.0760/0810 berbanding dolar US daripada 4.0870/0900 pada minggu sebelumnya.

Ia turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6770/6825 daripada 3.7013/7050 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0119/0165 daripada 3.0082/0116, rendah berbanding euro kepada 4.6214/6287 daripada 4.6110/6152 dan merosot, berbanding pound, kepada 5.3065/3135 daripada 5.2354/2409 sebelum ini.

*Sumber: BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next