EKONOMINASIONAL

Sambut baik EAC demi penuhi harapan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 FEB: Langkah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) disambut baik Ahli Dewan Negeri Selangor bagi memulihkan keyakinan dan memenuhi harapan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, kebangkitan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menuntut Kerajaan Pakatan Harapan meletakkan kembali negara ke landasan sebenar melalui dasar, inisiatif peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat.

Katanya, ia juga membuktikan sikap proaktif dan kepedulian kerajaan terhadap isu serta permasalahan harian rakyat seperti kos sara hidup, pengangguran dan pemilikan aset.

“Kerajaan sedar harapan rakyat begitu tinggi selepas perubahan yang berlaku, pada 9 Mei 2018.

“Justeru, penubuhan EAC yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah langkah signifikan untuk kerajaan segera mendakap aspirasi rakyat dan menyelesaikan permasalahan yang membelenggu kehidupan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pula berharap ahli EAC terdiri daripada menteri dan pakar ekonomi daripada agensi atau jabatan berkaitan mampu mencari kaedah terbaik untuk mengurus ekonomi negara yang mencabar ketika ini.

Beliau juga berhadap majlis itu mampu mencari serta meneroka pelaburan baru untuk menjana ekonomi negara.

“Saya melihat ini langkah yang positif dan tepat dalam usaha kerajaan menangani isu ekonomi serta sara hidup rakyat yang gawat juga merunsingkan.

“Pada masa sama, ia dapat mengembalikan keyakinan bahawa pengurusan ekonomi negara berada di tangan pakar untuk membantu memulihkan ekonomi semasa bagi mengurangkan kegusaran rakyat,” katanya.

Sementara itu, ADN Kinrara, Ng Sze Han berkata, rekod membuktikan EAC mampu menangani krisis ekonomi dalam tempoh singkat berbanding negara ASEAN lain, pada 1998.

“Oleh itu, pengumuman EAC dengan komposisi anggota terdiri dariada tokoh kerajaan dan swasta yang dilihat berkemampuan tinggi, pasti akan meletakkan ekonomi negara di landasan betul melalui pendekataan lebih kolektif serta menyeluruh,” katanya.

ADN Kajang Hee Loy Sian pula menggesa supaya kerajaan turut melantik ahli ekonomi yang boleh mewakili suara generasi muda.

“Satu langkah yang amat baik untuk menangani masalah ekonomi negara dengan keanggotaan merangkumi Perdana Menteri, Menteri Kanan dan pakar ekonomi yang mampu memberi input, cara penyelesaian serta pelaksnaan segera.

“Bagaimanapun, saya cadang masukkan pakar ekonomi orang muda supaya boleh menangani masalah membabitkan golongan itu kerana mereka paling banyak menghadapi masalah pengganguran dan peluang pekerjaan termasuk isu sara hidup,” katanya.


Pengarang :