SELANGOR

Selangor teraju pengasingan kuasa eksekutif dan legislatif

OLEH MUHAMMAD ZAIM

SHAH ALAM, 19 FEB: Selangor antara yang terawal mengorak langkah membuat pengasingan kuasa membabitkan eksekutif dan legislatif, di negeri itu.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim berkata, ia dapat dilihat melalui pengasingan Setiausaha DNS dengan Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Setiausaha dewan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dewan dan jawatankuasa, sementara Setiausaha MMKN akan menyertai mesyuarat dalam MMKN untuk legislatif.

“Jadi, eksekutif dan legislatif ada pengasingan. Ini satu perkara, anjakan dan pembaharuan di Selangor walaupun pengasingan sepenuhnya masih dalam proses pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai diskusi bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Melaka (MELCAT), di Bangunan Annex, di sini.

Terdahulu, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menerima kunjungan MELCAT bagi berkongsi idea dan bertukar pendapat.

Turut serta dalam diskusi itu adalah Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong; ADN Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADN Banting, Lau Weng San.

MELCAT pula diketuai Pengerusinya, Damian Yeo Shen Li; Ahli Jawatankuasa, Datuk Dr Wong Fort Pin; Gue Teck; Allex Seah Shoo Chin dan Datuk Roslan Datuk Ahmad.


Pengarang :