SELANGOR

ADN Selangor disaran bersama dekati belia – Khairuddin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Golongan belia di Selangor yang kini mencecah 2.7 juta orang membentuk hampir separuh daripada keseluruhan populasi di negeri ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, keadaan ini menjadikan belia golongan yang mesti didekati Ahli Dewan Negeri.

“Kalau dilihat nisbah penduduk di Selangor bermakna hampir 50 peratus pengundi Yang Berhormat (YB) sekalian adalah dalam kalangan belia atau dalam erti kata lain YB mestilah menyokong portfolio saya, berkerjasama dengan saya, tiada pilihan,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian ketika menjawab soalan ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin pada sesi pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menjawab satu soalan tambahan, Mohd Khairuddin menjelaskan mengikut Dasar Belia Negara 2018, golongan belia ditakrifkan berumur 15 hingga 30 tahun.

Katanya, Kerajaan Negeri sendiri sangat menitik berat terhadap program pembangunan belia di Selangor.


Pengarang :