NASIONAL

Balu, dua remaja mengaku tidak bersalah bunuh CEO Cradle Fund

SHAH ALAM, 12 MAC: Balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki itu pada Jun tahun lalu.

Bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 16 serta 13 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Wanita itu dan dua remaja lelaki terbabit didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama telah membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya dekat sini, antara 11.30 malam, 13 Jun hingga 4 pagi, 14 Jun tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Samirah yang memakai baju kurung hitam dan bertudung kelabu serta dua remaja lelaki terbabit tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dan ketibaan mereka disambut dengan tangisan anggota keluarga serta rakan yang memenuhi galeri awam.

Turut kelihatan penganalisis politik dan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang hadir dengan berkerusi roda.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai 75 saksi telah dirakam percakapan dan buat masa ini, pihaknya masih belum memutuskan berapa ramai saksi yang akan dipanggil.

“Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan kepada semua tertuduh dan sekiranya pihak pembelaan ingin memohon ikat jamin, kami akan buat bantahan,” katanya.

Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Samirah pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan ikat jamin anak guamnya pada tarikh lain.

Beliau turut mengemukakan aduan bahawa anak guamnya telah diletakkan ke dalam sebuah bilik berasingan yang gelap di Penjara Kajang serta tidak diberikan pensil dan buku nota untuk membuat sebarang catatan berkenaan kes itu.

“Kami harap DPP (Timbalan Pendakwa Raya) akan melihat perkara ini. Ini pertama kali saya dengar perkara seperti ini berlaku di Penjara Kajang. Anak guam saya baharu sahaja dibebaskan dari bilik terbabit selepas membuat aduan,” katanya.

Mohd Zain kemudian berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada pihak penjara untuk memberi hak yang sepatutnya kepada tertuduh tertakluk kepada peraturan sedia ada.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili kedua-dua remaja terbabit pula mengemukakan aduan kepada mahkamah bahawa seorang daripada anak guamnya berumur 16 tahun yang ketika ini ditempatkan di Asrama Sentosa, Sentul, Kuala Lumpur telah diserang secara fizikal dan seksual.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya anak guamnya dipindahkan ke Sekolah Koreksional Puncak Alam dekat sini, yang menempatkan seorang lagi anak guamnya berumur 13 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan kedua-dua remaja terbabit diasingkan mengikut umur.

Hakim Ab Karim kemudian berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang arahan hanya berdasarkan kepada aduan terbabit, justeru beliau meminta Hisyam supaya mengemukakan permohonan secara rasmi.

Mahkamah dalam pada itu mengekalkan perintah larangan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya kepada pihak media sebelum ini, iaitu tidak mendedahkan nama, alamat, tempat tinggal selain media dilarang mengambil gambar atau menyiarkan gambar kedua-dua remaja terbabit yang masih di bawah umur di platform media cetak dan elektronik.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Okt tahun lalu membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.

Pada 3 Ogos tahun lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya, pada 14 Jun tahun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

Laporan bedah siasat kedua mendapati Nazrin mati akibat kecederaan di kepala dan bukannya berpunca daripada letupan telefon bimbit.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :