EKONOMINASIONAL

Bursa Saham tinggi pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Saham di Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari, disokong belian sederhana saham wajaran tinggi utama.

Secara keseluruhannya. sentimen di pasaran masih dalam kedudukan berhati-hati, sementara menunggu keputusan rundingan perdagangan AS-China atau daripada Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) di Beijing untuk arah tuju, kata seorang peniaga.

Pada rehat tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan 1,686.49, meningkat 0.87 mata berbanding 1,685.62 pada penutupan Selasa selepas dibuka 0.64 mata lebih tinggi pada 1,684.98.

Indeks bergerak antara 1,684.08 dan 1,688.30 di sepanjang sesi pagi.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 400 berbanding 294, manakala 385 kaunter tidak berubah, 790 tidak diniagakan manakala 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.69 bilion saham bernilai RM1.09 bilion.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, dua pasaran ekuiti serantau, Thailand dan Indonesia, juga dalam aliran menurun sejak beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan jualan asing.

“Pelabur beralih minat ke China, yang dilihat mencatat penurunan asasnya yang agak ketara, sebanyak kira-kira 30 peratus dan mendorong pelabur untuk melakukan aktiviti belian semasa harga rendah,” katanya kepada Bernama.

Pada Ahad lalu, China menjalankan mesyuarat NPC tahunannya, dengan perbincangan antara lain bertumpu kepada isu pertumbuhan ekonomi yang pelahan serta ketegangan geopolitik.

Pong berkata, prestasi positif bursa tempatan hari ini disokong oleh harga minyak Brent, yang kini didagangkan melepasi US$60 setong.

“Namun secara keseluruhannya, saya menyaksikan Bursa Malaysia didagangkan rendah,” katanya.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing kekal pada RM9.53 dan RM24.60, Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM9.20, manakala Tenaga susut dua sen kepada RM12.78.

Antara kaunter aktif, My EG meningkat 13 sen kepada RM1.14, Sapura Energy menambah setengah sen kepada 32 sen, Velesto menokok 1.5 sen kepad 27.5 sen dan Dayang Enterprise meningkat enam sen kepada RM1.37.

Indeks FBM Emas meningkat 27.43 mata kepada 11,757.24, Indeks FBMT 100 menokok 25.91 mata kepada 11,615.05 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 53.79 mata kepada 11,726.64.

Indeks FBM 70 meningkat 113.58 mata kepada 14,105.90 dan Indeks FBM Ace meambah 25.17 mata kepada 4,714.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 46.46 mata kepada 17,584.35, Indeks Perladangan meningkat 14.32 mata kepada 7,287.31, manakala Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian meningkat 0.49 mata kepada 168.45. -BERNAMA


Pengarang :