GLOBALNASIONAL

Nahas Ethiopian Airlines, Boeing janji tawar bantuan teknikal

SAN FRANCISCO, 11 MAC: Gergasi pembuatan pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing, berjanji untuk menawarkan bantuan teknikal kepada Ethiopia susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines, yang terhempas sejurus berlepas.

Boeing dalam satu kenyataan ringkas turut mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal yang menaiki Penerbangan 302 (ET 302) itu.

“Satu pasukan teknikal Boeing akan berlepas ke lokasi nahas untuk memberikan bantuan di bawah arahan Biro Penyiasatan Kemalangan Ethiopia dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS,” katanya.

Pesawat jenis Boeing 737-800 MAX itu, yang membawa 157 penumpang dan anak kapal terhempas, pada awal pagi Ahad ketika dalam perjalanan ke Nairobi, Kenya, mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ethiopian Airlines, Tewolde Gebremariam memaklumkan, bahawa penumpang itu terdiri daripada warganegara dari lebih 30 negara. -BERNAMA


Pengarang :