SELANGOR

Perusahaan kecil elak anak yatim minta sedekah

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 29 MAC: Tidak sanggup melihat anak yatim mengutip derma, Rumah Kebajikan Baitul Hidayah mengambil inisiatif membuka perusahaan secara kecil-kecilan bagi menampung dana perbelanjaan mereka.

Guru Besarnya, Noraini Abdul Aziz berkata, antara perniagaan yang dijalankan adalah nurseri bunga, menjual pakaian terpakai dan barangan lama serta menjalankan perkhidmatan membungkus asam jawa.

Katanya, perniagaan di hadapan rumah terbabit dapat memperoleh keuntungan sekurang-kurangnya RM300 seminggu bagi perbelanjaan minyak van menghantar anak-anak itu ke sekolah.

Bagi anak-anak lelaki pula, mereka membela kambing, arnab, puyuh dan menanam timun untuk dijual, katanya.

“Saya malu bila lihat ada anak yatim yang terpaksa minta sedekah. Kami tidak mahu seperti itu, jadi selain dapat dana sumbangan, kami usaha buka perniagaan kecil-kecilan.

“Sebenarnya bukanlah keuntungan yang utama, tetapi kita mahu latih anak-anak berdikari supaya mereka berkemahiran,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Rumah Kebajikan Baitul Hidayah di sini.

Pada masa sama, Noraini berkata, aktiviti itu juga dapat mengisi masa lapang mereka, sekali gus menambah keyakinan diri mereka.

Baitul Hidayah menempatkan 50 anak-anak lelaki dan perempuan berusia empat hingga 17 tahun.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun pengurusan Baitul Hidayah, 568612000818 (Maybank).


Pengarang :