BERITA UTAMASELANGOR

PKNS X Shopee landasan usahawan berniaga

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bergabung dengan aplikasi jualan dalam talian, Shopee Malaysia, bagi mewujudkan tempat pemasaran kepada usahawannya untuk memasarkan produk.

Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Shamsul Bahrin Md Shukur berkata, hampir 40 usahawan dalam kalangan ahli kelab BizClub perbadanan itu terpilih untuk berniaga melalui landasan berkenaan.

Katanya, gabungan julung kali itu turut mendapat kerjasama daripada Selangor Information Technology & Ecommerce Council (SITEC).

“Ini adalah kali pertama kita mewujudkan hab perniagaan bersama Shopee dan SITEC bertujuan mewujudkan ‘market place’ kepada setiap usahawan untuk memasarkan produk mereka ke peringkat lebih jauh.

“Malah, hari ini (semalam) kita panggil kesemua 40 usahawan ini untuk mendengar sendiri taklimat berkaitan pasaran e-dagang, sekali gus memberi pendedahan lebih terperinci bagaimana mahu menjenamakan serta memasarkan sesuatu produk,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian pada program Taklimat “Jom Bisnes Raya Di Shopee” di PKNS Bizpoint, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, usahawan yang terbabit akan mula berniaga di Shopee Malaysia, pada 25 April hingga 25 Mei ini bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Shamsul Bahrin berkata, setiap usahawan yang memasarkan produk melalui aplikasi itu tidak perlu membayar sebarang kos, sebaliknya ditanggung sepenuhnya Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS.

“Kita juga akan menyediakan studio jika mereka mahu mengambil gambar produk yang ingin dipasarkan.

“Selain itu, perniagaan dalam Shopee Malaysia ini juga tidak hanya dikhususkan ketika sesuatu perayaan sahaja tetapi mereka boleh meneruskan pada masa akan datang kerana kita sudah pun menyediakan landasan untuk mereka,” katanya.


Pengarang :