NASIONAL

Polis Marin tahan empat nelayan warga asing di Labuan

LABUAN, 9 MAC: Polis marin menahan empat nelayan warga asing yang menjalankan aktiviti menangkap hasil laut, di perairan Labuan dalam dua operasi berasingan, di sini, pada pagi Jumaat.

Dua nelayan berumur 25 dan 29 tahun, seorang dipercayai pendatang asing tanpa izin dan seorang lagi pemegang pas Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), ditahan semasa ‘Op Gelora’, di perairan Pulau Enoe.

Sekurang-kurangnya 70 kilogram pelbagai hasil laut, bot dan peralatan mereka bernilai antara RM19 hingga RM510 dirampas.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, semasa pemeriksaan, kapten bot yang tidak mempunyai dokumen perjalanan, menunjukkan lesen perikanan tamat tempoh, yang menjadi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, berumur 22 tahun, ditahan berhampiran perairan Petronas Methanol semasa sedang menangkap ikan.

“Lelaki berkenaan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, mengaku baru bekerja sebagai kru bot nelayan selama sebulan,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, tangkapan keempat adalah seorang lelaki yang ditahan di jeti pendaratan ikan, di Ujung Pasir semasa ‘Op Landai Khas’.

“Kami menahannya selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan kesemua mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11 (2) (b) Akta Perikanan 1985. -BERNAMA


Pengarang :