NASIONAL

Food Bank Siswa diperluas di lebih banyak IPT termasuk swasta

KUALA NERUS, 29 APR: Program Food Bank Siswa Malaysia akan diperluas kepada lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini pihaknya masih memfokuskan program itu di universiti awam (UA) dengan sasaran pelaksanaan program di 20 UA sebelum Disember ini.

“Ia akan diperluaskan di universiti swasta yang lain dan kolej komuniti, sekolah agama, Institut Pendidikan Perguruan (IPG)… semuanya dalam perhatian kita.

“Saya yakin program ini akan jadi satu gerakan kesukarelawanan yang baik, banyak memberi faedah kepada penerima di samping kita mendidik masyarakat untuk mengelak pembaziran. Saya optimis Food Bank Siswa ini akan pantas berkembang dengan komitmen tinggi pelbagai pihak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2019 dan Food Bank Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Program Food Bank Siswa diwujudkan hasil kejayaan program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas yang sehingga kini memberi manfaat kepada 37,000 individu dari kumpulan B40 di seluruh negara.

Pelaksanaan Food Bank Siswa adalah susulan pendedahan media mengenai golongan mahasiswa di universiti awam yang terpaksa mengikat perut akibat masalah kewangan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kementerian sangat berpuas hati dengan komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan program itu dan berharap lebih banyak syarikat akan tampil membantu pada masa akan datang.

Setakat ini, Food Bank Siswa dilancarkan di beberapa UA iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor dan terbaru di UniSZA hari ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :