PETALING JAYA, 11 April — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kiri) bersama Ketua Negara Grab Malaysia Sean Goh ketika sidang media selepas pelancaran teknologi pengesahan penumpang menggunakan kaedah swafoto pada aplikasi Grab di Ibu Pejabat Grab Malaysia hari ini. Menurut Sean, pelancaran aplikasi itu adalah kerjasama Grab Malaysia bersama Kementerian Pengangkutan dalam usaha untuk melindungi keselamatan penumpang dan pemandu. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan pinda syarat kelayakan lesen PSV untuk OKU

PETALING JAYA, 11 APRIL: Kementerian Pengangkutan akan meminda syarat kelayakan permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi membenarkan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi pemandu e-hailing.

Ketika ini, peraturan semasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang golongan OKU daripada mendapatkan lesen PSV, yang akan menjadi syarat wajib untuk pemandu e-hailing bermula 12 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini terdapat sekitar 400 pemandu OKU e-hailing dan pindaan syarat itu perlu bagi membolehkan mereka bekerja dan mendapat pendapatan sendiri.

Beliau berkata, pihaknya yang berhasrat meminda peraturan itu bagi membolehkan OKU mendaftar sebagai pemandu PSV sedang berusaha menyegerakannya dan berharap ia dapat dilaksanakan Mei ini.

“Ia membabitkan kira-kira 300 sehingga 400 pemandu OKU.

“Mereka akan diberi keutamaan, diharapkan sebaik sahaja peraturan pada 12 Julai berkuat kuasa, mereka boleh terus memandu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan teknologi pengecaman wajah Grab Malaysia di ibu pejabat Grab Malaysia, di Bandar Utama, di sini hari ini.

PETALING JAYA, 11 April — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berucap merasmikan pelancaran teknologi pengesahan penumpang menggunakan kaedah swafoto pada aplikasi Grab di Ibu Pejabat Grab Malaysia hari ini.
Menurut Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh pelancaran aplikasi itu adalah kerjasama Grab Malaysia bersama Kementerian Pengangkutan dalam usaha untuk melindungi keselamatan penumpang dan pemandu.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Loke berkata, ketika ini sebanyak 25 syarikat yang mahu melaksanakan perkhidmatan e-hailing sudah memohon lesen pengendali dengan 16 daripadanya lulus, dua permohonan ditolak manakala lebih 1,000 pemandu mendaftar setakat ini.

Ditanya berkenaan terdapat pemandu e-hailing yang menolak peraturan pendaftaran PSV, beliau meminta mereka melihat daripada perspektif berbeza dan menegaskan semua pemandu perlu mendaftar serta mematuhi peraturan ditetapkan juga memberi kerjasama menyeluruh.

“Sudah tentu ada sedikit masalah bagi anda untuk pergi kursus, lesen, dan sebagainya, tapi lihat kepada manfaat jangka panjang. Seluruh industri akan dijadikan sah oleh undang-undang dan diselaras, jadi anda ada persekitaran ‘secure’ untuk beroperasi.

“Anda hanya perlu lakukan ia sekali sahaja, bukan kita minta mereka buat setiap tahun, kemudian tahun depan hanya perbaharui sahaja. Tidak kiralah pemandu separuh masa atau sepenuh masa, mereka tetap kena mendaftar e-hailing,” katanya.

Loke turut menyeru pemandu e-hailing supaya tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendaftar lesen PSV mereka. -BERNAMA


Pengarang :