NASIONALPENDIDIKAN

Program intervensi tahfiz swasta beri peluang pelajar duduki SPM

NILAI, 15 APR: Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta adalah pendekatan strategik membawa dimensi baharu dalam arus pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, ia bagi memberi peluang kepada pelajar tahfiz yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mengikuti pelajaran dan pembelajaran secara formal dan bersistematik di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“KPM sediakan pendidikan arus perdana kepada pelajar tahfiz swasta agar mereka dapat duduki peperikaaan SPM dan belajar dengan guru-guru di sekolah KPM.

“Ini adalah fasa pertama dan juga merupakan program rintis… sehingga hujung tahun ini, kita akan berikan tumpuan kepada program rintis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka di sini, hari ini.

Beliau berkata, program intervensi berkenaan adalah inisiatif pendidikan secara intensif dan bersistematik kepada murid tahfiz swasta berdaftar berumur 17 hingga 18 tahun sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan SPM.

“Dalam hal ini, KPM menyediakan pendidikan secara formal kepada murid tahfiz swasta melalui pengajaran dan pembelajaran enam mata pelajaran teras yang disampaikan oleh guru kementerian di premis KPM sebagai ruang dan peluang kepada mereka berada dalam sistem arus perdana Pendidikan,” katanya.

Beliau berharap program intervensi itu mendapat kerjasama daripada semua pihak yang terlibat kerana program berkenaan memberi impak yang sangat positif khususnya keyakinan dari aspek akses pendidikan yang berkualiti di sekolah KPM.

Bagi fasa pertama, program ini dilaksanakan di SMK Bekok, Segamat, Johor, SMK Benut, Pontian, Johor, SMK Desa Cempaka Nilai dan Maahad Tahfiz Al-Quran An- Najihah, Nilai.

Dalam perkembangan lain, Maszlee menyeru ketua-ketua masyarakat termasuk ketua kampung agar dapat melibatkan masyarakat dengan pembelajaran sepanjang hayat di kolej-kolej komuniti yang menawarkan kursus-kursus jangka pendek.

“Saya juga galakkan masyarakat Cina dan India untuk mengikuti kursus di kolej-kolej komuniti yang hanya melibatkan bayaran minimum dan tidak membebankan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :