SELANGOR

Selangor gerakkan ‘task force’ Tibi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 6 APRIL: Bertepatan tema Hari Tibi Sedunia tahun ini iaitu ‘It’s Time’, Kerajaan Negeri menggerakkan badan bertindak (task force) bagi mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit berbahaya itu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pasukan terbabit akan bekerjasama dengan ketua penduduk di peringkat komuniti untuk memperkenalkan program berbentuk kesedaran kepada masyarakat.

Katanya, langkah proaktif itu bagi memastikan mana-mana pihak yang mempunyai simptom Tibi segera mendapatkan saringan, selain pesakit yang sudah didiagnos dengan penyakit berkenaan mengambil ubat secara berdisiplin.

“Ia bagi menggesa semua pemegang taruh yang terbabit dalam kawalan penyakit Tibi untuk terus memperkasa masyarakat supaya lebih cakna berkenaannya.

“Selain itu, task force ini adalah kerjasama bagi membanteras penyakit yang boleh membawa maut,” katanya ketika ditemui media selepas Pelancaran Program Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar; Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar; Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri, Mohamad Hanafi Maulud dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Azma Shafini Marlizan.

Sehingga tahun lalu, sebanyak 25,837 orang menghidap penyakit Tibi di Malaysia dengan Selangor mencatatkan jumlah pesakit tertinggi iaitu 5,071 kes.

Sebagai usaha mengekang penyakit Tibi dalam kalangan komuniti menjelang 2035, World Health Organization (WHO) melancarkan strategi End TB pada 2015.

Strategi End TB berlandaskan kepada tiga prinsip dan empat pendekatan teras bertujuan mewujudkam program kawalan TB yang mesra komuniti, holistik serta mampan.


Pengarang :