NASIONAL

“The Equanimity” dijual kepada Genting, kos USD 126 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 APRIL: Genting Malaysia Berhad bersetuju untuk membeli kapal layar mewah “The Equanimity” yang penuh kontroversi itu dengan harga USD 126 juta (RM514.55 juta).

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Mahkamah Admiraliti Kuala Lumpur memberi kelulusan untuk menerima tawaran membeli kapal layar daripada syarikat Genting itu atas terma dan syarat syerif.

Beliau berkata, harga jualan itu akan dibayar Genting dan diterima mahkamah, pada penghujung bulan ini.

“Menerusi pembelian ini, ia bakal memberikan jumlah pemulihan daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tertinggi setakat ini untuk Kerajaan dalam jangka masa cuma lapan bulan daripada tarikh tindakan dimulakan.

“Jumlah USD 126 juta ini adalah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan sejak Oktober tahun lalu apabila “The Equanimity” diumumkan untuk jualan.

“Malah, banyak tawaran diterima dalam tempoh ini, namun hanya sebilangan kecil sahaja melebihi USD100 juta dan Genting antara tertinggi dan diluluskan mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, katanya, pembelian itu membawa kepada penjimatan sejumlah USD4.4 juta terhadap 1MDB.

Beliau berkata, harga jualan sejumlah USD 126 juta amat memuaskan dan berjaya dicapai sebahagian besarnya melalui kepakaran serta kemahiran Kumpulan Perundangan mewakili Kerajaan Malaysia.

Tommy turut menghargai usaha Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia yang bermurah hati memberikan ruang untuk kapal layar mewah itu berlabuh lebih lima bulan tanpa sebarang caj termasuk memastikan keselamatan kapal terbabit.


Pengarang :