NASIONAL

Asas ekonomi Malaysia jauh lebih kukuh berbanding 1998

SINGAPURA, 13 MEI: Asas ekonomi Malaysia sangat berbeza pada hari ini dan jauh lebih kukuh berbanding ia pada 1998, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Kim Eng, Ami Moris.

Memetik beberapa petunjuk utama ekonomi, beliau berkata, rizab luaran Malaysia meningkat kepada US$103.4 bilion (US$1=RM4.15) pada akhir April 2019 berbanding US$20 bilion semasa krisis kewangan Asia 1997-98.

“Baki akaun semasa mencatatkan lebihan 2.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2018 berbanding defisit 5.6 daripada KDNK pada 1997, dan jumlah nisbah modal sistem perbankan berada pada 18 peratus setakat Mac 2019 daripada 10.5 peratus pada 1998,” katanya.

“Mungkin persoalan (tambatan mata wang) belum berbangkit lagi buat masa ini, kerana kita sangat berbeza dari segi asas berbanding semasa kita perlu menambatkan ringgit (berbanding dolar AS) 1998,” katanya kepada Bernama di luar acara Invest Asia 2019 yang berlangsung selama dua hari, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada Malaysia perlu menambatkan ringgit berbanding dolar AS selepas unit tempatan itu tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan berbanding dolar AS sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 9 Mei, 2018.

Pada 9 pagi hari ini, ringgit berada pada paras 4.1595/1625 berbanding dolar AS, penurunan 5.36 peratus daripada paras penutup 3.9480/9530 pada 8 Mei, 2018.

Mengulas mengenai penurunan nilai ringgit yang berterusan itu, Ami berkata apa yang dialami oleh ringgit sekarang bukan kes terpencil yang melibatkan Malaysia sahaja, kerana tekanan luaran yang berpunca daripada ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China juga telah menjejaskan banyak negara lain.

Sementara itu, ditanya sama ada penurunan terbaharu Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus akan menjejaskan lagi ringgit, beliau berpendapat langkah itu akan dapat membantu ringgit mengukuh dalam tempoh jangka sederhana.

“Bank pusat mengambil langkah berhati-hati, dan ia hanya penurunan 24 mata asas, yang tidaklah begitu agresif.

“Saya fikir apa yang penting adalah pengaturan masa, dan isyarat kepada pasaran bahawa bank pusat mahu memastikan pertumbuhan perlahan dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Beliau berharap langkah itu akan dapat membantu menyederhanakan penyusutan pinjaman yang dialami negara sejak lima bulan lepas.

Walaupun perang perdagangan antara AS dan China menjejaskan kebanyakan ekonomi di rantau ini, Ami percaya sekiranya BNM mahu memastikan momentum ekonomi dikawal, penurunan OPR akan mengurangkan dengan efektif kos pinjaman dan membolehkan pengguna menyimpan lebih banyak wang.

“Pada masa ini, di sini, (industri) mungkin mempunyai persepsi yang ekonomi Malaysia berada di bawah tekanan, tetapi dengan adanya pemacu pertumbuhan seperti sektor pembinaan dan penggunaan, ia akan dapat menstabilkan kembali ringgit dalam tempoh sederhana,” katanya.

Laporan Maybank FX Research and Strategy yang dikeluarkan pada 30 April, 2019, mengunjurkan ringgit menghampiri paras 4.08 berbanding dolar AS dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang dan berpotensi mencecah paras 4.05 dalam suku ketiga, sekiranya mata wang serantau mengukuh berbanding dolar AS dan tiada lagi faktor-faktor risiko.

Mengenai implikasi penurunan OPR terhadap petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memandangkan kaunter perbankan membentuk sebahagian besar daripada indeks, Ami optimis sektor perbankan tidak akan menerima kesan yang agak negatif, kerana beberapa bank telah menaikkan kadar asas mereka sebanyak 10 mata asas sebelumnya.

“Justeru, 25 mata asas ini, menurut pandangan firma kami, akan mempunyai sama ada impak ‘neutral’ atau ‘sedikit negatif’ ke atas sektor perbankan, dan kami berpandangan FBM KLCI kekal pada 1,760 pada akhir 2019,” katanya.

Mengenai aliran keluar dana asing yang berterusan dalam pasaran tempatan, Ami berharap tempoh yang buruk ini akan berakhir, kerana terdapat situasi seperti dua hari belian bersih dan dua hari jualan bersih yang berlaku baru-baru ini, berbanding aliran keluar asing berterusan yang dilihat dalam pasaran sebelumnya.

“Harap-harapnya, keadaan yang buruk ini akan berlalu, walaupun mungkin terdapat aliran keluar disebabkan oleh berita akan dikeluarkan daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE, situasinya masih boleh ditangani bagi pasaran,” katanya.

Menurut laporan aliran keluar mingguan MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research yang dikeluarkan pada Isnin, dana asing membawa keluar ekuiti bernilai RM450.9 juta minggu lepas berbanding jualan bernilai RM275.7 juta pada minggu sebelumnya, mencatatkan aliran keluar bersih asing mingguan terbesar dalam tempoh sembilan minggu.

Ditanya sama ada Malaysia boleh mencapai pertumbuhan KDNK 2019 antara 4.3 dan 4.8 peratus seperti yang diunjurkan oleh BNM sebelum ini, dalam keadaan peningkatan perang perdagangan dan penyusutan permohonan pinjaman, Ami berkata pengesahan projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur dan Bandar Malaysia akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu bagi ekonomi tetapi projek-projek itu memerlukan banyak pembiayaan.

“Terdapat usaha bersepadu bagi memastikan adanya pelbagai pemacu pertumbuhan untuk menyokong ekonomi Malaysia. Perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata, ia adalah usaha selangkah demi selangkah ke arah tempoh sederhana bagi memastikan kita berada di platform kukuh untuk memacu pertumbuhan.

“Jadi, ya, pertumbuhan 4.3 hingga 4.8 peratus itu sudah pastinya boleh dicapai. Malahan, unjuran kami yang ditetapkan pada Mac (bagi sasaran KDNK) adalah pada 4.7 (peratus) bagi 2019,” katanya.

Mengenai perancangan Maybank Kim Eng tahun ini, beliau menjangkakan bank pelaburan itu membawa sekurang-kurangnya satu atau dua syarikat untuk disenaraikan di Pasaran Utama bursa tempatan pada akhir tahun.

“Kami adalah penasihat utama bagi tawaran awam permulaan (IPO) Leong Hup International Bhd pada 16 Mei tahun ini yang terlebih langganan sebanyak 3.64 kali.

“Lebihan langganan itu menunjukkan berapa banyak mudah tunai dalam pasaran dan pelabur masih mempunyai minat untuk mengambil risiko,” katanya.

Keseluruhannya, Ami percaya prospek pelaburan jangka sederhana hingga panjang Malaysia kekal positif.

“Kerajaan melakukan apa yang perlu dilakukan, termasuk mengambil keputusan yang sukar. Tetapi melakukan apa yang perlu dilakukan adalah tidak mudah, sering kali tidak popular, dan kadang-kadang ada kekurangan kejelasan.

“Adalah lebih baik bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian, daripada cuba menangguhkannya atau berpura-pura pembaharuan institusi tidak berlaku,” katanya.

Bagi menarik pelabur kembali ke dalam pasaran, Ami menekankan bahawa kerajaan perlu telus dan konsisten dalam dasar mereka.

“Tetapi untuk membuat perubahan transformatif, yang akan melibatkan rangsangan menerusi dasar, menghapuskan amalan tertentu dan memastikan pembaharuan utama institusi berlaku, ia akan mengambil masa.

“Jadi sebagai rakyat Malaysia, kita perlu melihat dengan positif apa yang berlaku, ini benar-benar bagi masa depan yang lebih panjang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :