PBT

Datuk Bandar gesa peniaga bincang lokasi perniagaan sementara

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Para peniaga di bazar hadapan Wisma Yakin di sini yang terlibat dalam kebakaran awal hari ini, diminta berbincang mengenai kawasan penempatan perniagaan sementara pada bulan Ramadan ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya telah memberi cadangan beberapa lokasi tertentu yang dikenal pasti boleh dijadikan tempat berniaga mereka untuk baki beberapa minggu menjelang perayaan Aidilfitri.

“Saya dah menyatakan kepada mereka bahawa mereka akan ditempatkan berdekatan kawasan tempat perniagaan mereka sekarang sama ada di Lorong Tuanku Abdul Rahman 3 atau di Lorong Tuanku Abdul Rahman 5 tapi keputusan majoriti perlu daripada mereka.

“Peniaga terlibat perlu berbincang mencari satu persetujuan di mana mereka hendak ditempatkan. Mereka juga diberikan tempoh dua minggu untuk menyatakan jumlah kerugian dialami,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Nor Hisham berkata berdasarkan jumlah kerugian itu, pihaknya akan memberi sedikit bantuan bagi meringankan beban peniaga terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar Melayu Moden Bazar Masjid India, Hamidi Abdul Hamid berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama 30 peniaga terlibat untuk urusan penempatan sementara mereka.

“Apa yang merunsingkan kami mengenai tempat sementara dicadangkan itu mungkin tidak berapa sesuai buat peniaga yang terlibat.

“Namun perkara itu boleh dibincangkan lagi menurut kata Datuk Bandar Kuala Lumpur. Jadi kami kena buat keputusan di mana kawasan yang lebih sesuai untuk menempatkan mangsa terlibat dengan kebakaran sahaja,” katanya kepada Bernama.

Hamidi berkata cadangan dan keputusan akan dimaklumkan kepada pihak DBKL dalam masa terdekat.

“Beberapa peniaga ada bagi cadangan tapi kami akan berbincang balik untuk mencapai kata sepakat,” katanya.

Dalam kejadian pukul 1.35 pagi ini, 30 gerai yang antaranya menjual pakaian, beg, tudung dan kasut di hadapan Wisma Yakin, Masjid India di sini, musnah dalam kebakaran. -BERNAMA


Pengarang :