SELANGOR

Dua suspek ugut Pengarah MPS akan dituduh esok

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Dua suspek berusia 23 dan 30 tahun yang terbabit dalam kes ancaman terhadap Pengarah Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 13 Mei lalu, akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, esok.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata, lima lagi individu yang ditahan pula akan dijadikan saksi pendakwaan.

Beliau berkata polis masih memburu seorang lagi individu disyaki dalang utama kes iaitu Jafni Abdullah@Mohd Yusoff, 47, atau digelar Man Puchong.

“Suspek utama ini merupakan pemilik tapak pelupusan sampah haram di Kampung Sungai Tua, Batu Caves,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Samsor berkata, hasil siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan tegas yang diambil MPS bagi menangani masalah pembuangan sampah di tapak berkenaan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan perbuatan menakutkan dan mengancam penjawat awam yang menjalankan tugas dan kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata tindakan tegas akan diambil terhadap samseng yang cuba mengugut pegawai dan anggota penguat kuasa sebagai amaran bagi menghentikan tindakan penguatkuasaan atau pendakwaan.

Pada Sabtu lepas, media melaporkan Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS, Norhayati Ahmad yang membuat laporan pada 13 Mei, menerima ancaman daripada individu tidak dikenali apabila kediamannya di Taman Muhibbah Rawang, Selangor diserang menggunakan cat berwarna merah hingga menyebabkan dua kenderaan rosak.

-BERNAMA


Pengarang :