Cyberjaya
SELANGOR

Cyberjaya model bandar pintar Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 22 MEI: Cyberjaya akan terus dipacu sebagai model bandar pintar di Selangor, kata Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Beliau berkata, model itu merangkumi pembangunan ‘Cyberjaya City Centre’ dan ‘Cyberjaya Innovation Fund For The Future’.

Katanya, penubuhan Hab Serantau Teknologi Kewangan dan Hospital Cyberjaya yang sedang dibina turut menjadi model pembangunan daerah itu.

“Daerah Sepang khususnya Cyberjaya dipilih untuk pembangunan kluster teknologi tinggi dan taman sains merangkumi Kluster Aeropolis dan Aeroangkasa iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, manakala Kluster eko pelancongan pula di sepanjang persisiran Pantai Morib hingga Sungai Pelek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sembah ucapannya kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan sambutan Nuzul Al-Quran di Masjid Raja Fi Sabilillah, di sini.

Mohd Yazid berkata, pelbagai jenis pembangunan berimpak tinggi itu membolehkan Sepang menjadi bandar raya terkemuka di Asia.

“Lebih-lebih lagi kita mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengandungi kompleks perniagaan komersil, zon komersil bebas, taman tema, hotel, dewan persidangan, zon pemuliharaan alam semula jadi dan zon pelancongan hijau,” katanya.

Sementara itu, katanya, projek pembangunan berorientasikan pelancongan juga giat dirancang, bermula dengan projek KLIA Aeropolis dari pantai Bagan Lalang sehingga ke pantai Tanjung Rhu.

“Pembangunan di pesisir pantai ini dijangka akan mengubah landskap Sepang sebagai destinasi pelancongan yang menarik, menawarkan kemudahan hotel, taman tema, vila, restoran, dewan persidangan dan pusat membeli-belah,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Yazid berkata, pihak swasta turut memainkan peranan dalam pembangunan di Sepang membabitkan pelbagai projek perumahan, perniagaan dan perindustrian.

Katanya, penyertaaan pihak swasta itu menjadi pemangkin kepada strategi pembangunan secara klusterisasi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri.

 


Pengarang :