Inkues Adib: Doktor pakar forensik kesal ‘dimalukan’ di mahkamah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Inkues Adib: Doktor pakar forensik kesal ‘dimalukan’ di mahkamah

SHAH ALAM, 17 MEI: Seorang saksi doktor pakar forensik menyatakan kekesalannya kerana ‘dimalukan’ di dalam mahkamah ketika memberi keterangan pada inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, niatnya hanya ingin membantu mahkamah untuk membuat pengiraan formula daya berhubung kecederaan dialami Muhammad Adib.

Saksi ke-24 yang dipanggil semula memberi keterangan itu juga beberapa kali menegaskan bahawa beliau bukan pakar fizik dan meminta mahkamah merujuk kepada pakar dalam bidang berkenaan untuk sebarang pengesahan berhubung pengiraaan formula daya itu.


“Saya sentiasa tegaskan saya bukan pakar fizik…mungkin saya tersalah faham (tentang permintaan membuat kiraan formula daya). Apabila diminta sesuatu oleh peguam, saya anggap saya perlu jelaskan kepada koroner.

“Ini bukan perbicaraan dan saya juga tidak sepatutnya dimalukan di mahkamah tentang pengiraan ini,” katanya pada prosiding ke-36 inkues di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Terdahulu, saksi itu bertikam lidah dengan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, apabila peguam tersebut mendakwa keterangannya berhubung pengiraan formula daya mengelirukan mahkamah.

Syazlin: Pengiraan daya yang doktor kemukakan di mahkamah berkenaan graviti salah, biar pakar yang bercakap tentang perkara ini. Tidak perlulah doktor nak tambah kelirukan mahkamah.

Dr Ahmad Hafizam: Saya tidak kelirukan mahkamah, semalam saya anggap saya disuruh buat pengiraan yang betul, sebab itu saya buat pengiraan baharu. Saya juga tidak sepatutnya dimalukan di mahkamah tentang pengiraan ini.

Syazlin: Sebelum ini doktor cakap pengiraan Prof Shahrom (Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom Prof Dr Shahrom Abd Wahid) salah, tetapi bila doktor tunjukkan pengiraan baru mengenai tarikan graviti saya lihat tidak betul, jadi saya tunjukkan yang doktor salah, bukan niat nak malukan cuma cakap doktor nak kelirukan mahkamah.

Menjawab soalan lain Syazlin, Dr Ahmad Hafizam berkata, lebam pada badan Muhammad Adib bukan disebabkan kesan cengkaman akibat ditarik tetapi berkemungkinan berlaku ketika mangsa dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dalam kes ini, mangsa meninggal dunia selepas 21 hari menerima rawatan dan dalam jangka masa rawatan ada pergerakan tertentu seperti mangsa digerakkan ke kiri, kanan sewaktu dia tidak sedarkan diri. Berdasarkan bedah siasat, kesan lebam itu tidak padan akibat ditarik,” katanya.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan teori Muhammad Adib ditarik pada siku kiri atau dari bahagian depan baju mangsa, berdasarkan beberapa faktor seperti situasi van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang sedang bergerak, kawasan kejadian berbahaya, mangsa ialah seorang anggota bomba yang ‘fit’ dan pemeriksaan klinikal serta dapatan bedah siasat yang telah dijalankan terhadap mayat mangsa.

Muhammad Adib yang merupakan anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung pada 27 dan 28 Mei ini. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next