PASIR MAS, 22 Mei — Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) bersalaman dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas mendengar taklimat di Markas Taktikal Batalion 9 PGA sempena lawatan kerja beliau ke Kelantan hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Isu kediaman polis dibawa ke mesyuarat tertinggi KDN

PASIR MAS, 22 MEI: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador akan membawa maklum balas diterima sebelum ini ke mesyuarat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang beberapa siri lawatan mengejut yang diadakan sebelum ini.

Beliau berkata masalah berbangkit di peringkat bawah adalah berhubung tempat tinggal terutama di Lembah Kelang kerana kos sewa rumah adalah tinggi, namun gaji dan elaun yang diterima adalah rendah, sekali gus memberi kesan kepada pegawai dan anggota.

“Rumah yang mampu disewa pula terletak di luar kawasan formasi menyebabkan mereka semakin terbeban dengan kos.

“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat KDN dan memohon kerajaan supaya memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Supt Ramli Poncho.

Katanya polis faham dengan keadaan kewangan negara yang tidak begitu memberangsangkan ketika ini dan sanggup menunggu sehingga ekonomi negara kembali pulih agar kerajaan dapat membantu agensi keselamatan itu.

Beliau turut memuji kejayaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan PGA9 dalam melakukan operasi di kawasan sempadan walaupun mereka terdedah dengan bahaya pada sepanjang masa.

“Saya ambil kesempatan untuk ingatkan pegawai dan anggota untuk meningkatkan tahap intergriti dan sentiasa berhati-hati kerana kawasan Op Wawasan ini sensitif, ada penyeludupan senjata api. Kita tak boleh menolak perkara buruk daripada berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Selangor dan Kuala Lumpur untuk memantau kawasan yang menjadi tumpuan warga Afrika terutama dari Nigeria tinggal dan sering berkumpul.

Beliau berkata tindakan itu diambil bukan bermotifkan ‘racial profiling’ namun atas laporan yang dikemukakan oleh orang awam sebelum ini.

“Saya ada terbaca satu rintihan warga pangsapuri Desa Aman Puri di Kepong yang mengeluh mengenai warga asing dari Afrika yang membawa budaya kurang sopan seperti mabuk dan menari dalam keadaan separuh bogel di kawasan perumahan mereka tinggal.

“Saya telah arahkan supaya Ketua Polis Selangor dan Kuala Lumpur untuk menggandakan usaha, tinjauan dan serbuan di tempat tumpuan warga Afrika ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :