NASIONAL

Kebebasan bersuara: Perlu klausa perlindungan wartawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MEI: Suatu akta yang memberi perlindungan kepada wartawan wajar diwujudkan bagi melindungi kebebasan bersuara khasnya dalam kalangan pengamal media.

Pengarang Kumpulan Media Selangor, Fathi Aris Omar berkata, akta terdapat pada masa ini juga lebih bersifat abstrak, tidak khusus dan tiada perlindungan.

“Misalnya dalam perdebatan sebelum ini, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 di mana betapa kenyataan itu bersifat umum dan ini sama juga definasi ‘rahsia’ dalam Akta Rahsia Rasmi atau berita palsu.

“Jadi, kita perlu pengkhususan di situ kerana dalam media ini ada laporan bersifat spekulasi, bukanlah laporan separuh benar tetapi tanggapan bergerak dalam masyarakat kadang-kadang media tidak boleh abaikan sama sekali hal seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara moderator, Luqman Hariz dalam rancangan bual bicara di Astro Awani, ‘Menjelang Setahun Malaysia Baharu: Adakah Media Lebih Bebas’, malam tadi.

Turut tampil dalam rancangan selama sejam itu, Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.

Fathi berkata, dalam Akta Komunikasi misalnya, terdapat beberapa perkataan yang tidak diberikan definasi dengan terperinci seperti perkataan ‘jelek’.

“Bolehkah dengan bercakap bodoh itu boleh dihukum? Kita tahu perkataan itu tidak sopan, media mungkin tidak boleh menggunakannya atau meletakkan dengan tanda dot, dot, dot tetapi adakah wajar menjadikannya unsur jenayah.

“Perkara inilah yang perlu ditakrifkan dengan lebih khusus, kalau mungkin bukan pada penggal ini atau parti ini tetapi kita mesti menyediakan satu suasana dan prinsip yang menggalakkan pertumbuhan media dan perbincangan yang menarik,” katanya.

Katanya, undang-undang perlu memainkan peranan dalam menyuburkan perkembangan media bagi menjamin ketelusan laporan berita dan perbincangan berbangkit berkaitan isu itu.


Pengarang :