NASIONAL

Kekalkan had menteri ketika kempen pilihan raya – BERSIH 2.0

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 MEI: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan had menteri berkempen.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam kenyataan berkata, sudah tiba masanya menteri tidak berkempen pada waktu bekerja bagi mengelakkan salah guna sumber kerajaan.

Katanya, ia selari dengan resolusi 51/59 Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ‘Tindakan Menentang Rasuah’.

“Untuk makluman, Suruhanjaya Pilihan Raya India juga menghadkan menteri daripada menggabungkan tugas rasmi dan menggunakan jentera serta pegawai rasmi kerajaan.

“Negara seperti Australia, India, Barbados, Kanada, Republik Ireland, Ghana dan Namibia juga telah membuat peraturan yang serupa,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya dilaporkan berkata, aktiviti berkempen dalam waktu bekerja adalah satu penyalahgunaan masa bekerja.

Tambah Azhar, anggota Kabinet tidak seharusnya dan jangan sekali-kali menggunakan aset-aset ataupun fasiliti-fasiliti kerajaan bagi tujuan berkempen.

Namun cadangan itu kurang disenangi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa sekatan itu seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak ada kerja boleh berkempen selama 24 jam.

BERSIH 2.0 bagaimanapun berkata, sepatutnya Azhar sebagai Pengerusi SPR perlu berdiri teguh bagi mengelakkan tanggapan bahawa badan itu dikawal oleh Perdana Menteri.

Katanya, oleh sebab itu BERSIH 2.0 mencadangkan penyelesaian supaya menteri atau penjawat awam yang juga pemimpin parti politik memohon cuti tanpa gaji atau cuti tahunan sekiranya ingin menyertai kempen.

“Selain kenderaan rasmi, pemandu dan anggota keselamatan yang ditugaskan kepada menteri atau pegawai kerajaan, aset dan pegawai kerajaan tidak boleh mengiringi semasa tempoh berkempen.

“SPR yang baharu ini adalah antara model reformasi yang paling bersinar di dalam Malaysia Baharu, dan disebabkan itu BERSIH 2.0 berharap supaya ia tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak,” katanya.


Pengarang :