SELANGOR

Lima hospital terima sumbangan van jenazah LZS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUNGAI BULOH, 18 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan van jenazah kepada lima buah hospital di negeri ini bernilai kira-kira RM928,560, semalam.

Jurucakap LZS dalam kenyataan berkata, sumbangan itu membabitkan Hospital Sungai Buloh (dua buah van), manakala Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Serdang Hospital Ampang masing-masing menerima sebuah van.

“Sumbangan van jenazah adalah salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah orang Islam di hospital.

“Pemilihan hospital yang menerima sumbangan berkenaan adalah berdasarkan kepada keperluan semasa, namun keutamaan kepada hospital memiliki van jenazah uzur dan kerap menguruskan jenazah asnaf terutama mualaf,” katanya.

Terdahulu, penyerahan kunci van jenazah yang berlangsung di Lobi Hospital Sungai Buloh itu dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim dan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kamaruddin Alias.

Hadir sama, Ketua Divisyen Teknologi Maklumat, Abdul Halim Abdul Rahim.

Sementara itu, LZS berkata, pada 2015, pihaknya juga menyumbang tiga van jenazah kepada tiga buah hospital membabitkan Hospital Kajang, Hospital Sabak Bernam dan Hospital Tanjong Karang.

Baru-baru ini, LZS turut menyerahkan 29 van jenazah bernilai RM4.5 juta kepada masjid terpilih meliputi sembilan daerah, di Selangor.


Pengarang :