Pembaharuan pendidikan negara lahir modal insan cemerlang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Pembaharuan pendidikan negara lahir modal insan cemerlang

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Menghampiri setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), Kementerian Pendidikan giat melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan dalam usaha melahirkan modal insan cemerlang Malaysia.

Menteri berkenaan, Dr Maszlee Malik mahu merealisasikan aspirasi rakyat dengan menyediakan pendidikan berkualiti yang membentuk rakyat Malaysia menjadi modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan serta saling bersatu padu.

Januari lalu, beliau mengumumkan lima inisiatif merangkumi sembilan intervensi untuk dilaksanakan tahun ini bagi meringankan bebanan tugas guru di seluruh negara, yang merupakan perancangan jangka pendek di bawah bahagian proses pengajaran yang menjadi tumpuan utama kementerian itu.


Inisiatif pertama yang memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi akan mengandungi tiga intervensi melibatkan pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) manakala inisiatif kedua melibatkan pengurusan data dan sistem dalam talian yang menyaksikan dua intervensi dilaksanakan iaitu pengumpulan data diambil daripada sumber sedia ada kementerian dan penggunaan sepenuhnya sistem kehadiran murid secara dalam talian.

Inisiatif ketiga pula memberi ruang kepada sekolah untuk merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (Linus) bersesuaian dengan keperluan murid yang selaras dengan pemansuhan peperiksaan Tahap Satu (Tahun 1 hingga Tahun 3).

Inisiatif keempat melibatkan pelaksanaan penyeragaman borang dan proses pemantau menerusi dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi terbeban untuk mengisi borang kebersihan, keselamatan dan penarafan kantin manakala inisiatif kelima adalah penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah untuk memastikan jawatankuasa tidak berkaitan tugas mendidik akan dimansuhkan.

Kurang beban guru

Langkah berkenaan adalah antara usaha Kementerian Pendidikan untuk memastikan guru-guru dapat mengajar dan bekerja dalam suasana gembira serta menyeronokkan, dan bukannya merasa terbeban.

Kementerian dilihat berusaha gigih untuk mengembalikan tugas hakiki guru iaitu mendidik dan mengajar dan mahu memansuhkan kerja-kerja perkeranian yang mengganggu tugas utama mereka.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Harry Tan memberitahu Bernama langkah itu membolehkan guru-guru mempunyai lebih masa bersemuka dengan murid dan pelajar.

Beliau berkata Maszlee, yang dianggapnya berjiwa guru, telah memulakan proses dan menanamkan pengertian supaya tumpuan mesti diberi pada tugas hakiki guru iaitu mendidik dan bukannya mengisi borang.

“Yang penting, adanya fokus kepada tugas hakiki guru iaitu mendidik dan bukan mengisi borang,” kata Tan.

Menurutnya sejak Julai tahun lepas, NUTP bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan proses terbabit termasuk berbincang dengan Maszlee dan Timbalan Menteri Teo Nie Ching.

Beliau mengakui cabaran yang dihadapi guru pada masa kini banyak berkaitan dengan profesionalisme dalam mendidik.

Antaranya masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris, yang dalam usaha segera untuk mengatasinya, terpaksa menyebabkan guru lain mengajar subjek itu.

“Sudah tentulah (cara pengajaran guru itu) ada kekurangannya dan masyarakat serta pihak atasan pula kemudian menyalahkan guru berkenaan,” katanya.

Selain itu Tan menyuarakan beberapa isu yang perlu segera diatasi termasuk tentang kecelaruan pengurusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang melibatkan enam kementerian dan prosedur operasi standard (SOP) bagi guru membawa pelajar keluar sekolah menggunakan kenderaan bagi menghadiri aktiviti kokurikulum dan ke hospital.

Guru sebagai fasilitator

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar pula berpendapat berkata kaedah komunikasi satu hala yang diamalkan sejak sekian lama sudah kurang efektif dalam proses pembelajaran dalam kalangan pelajar sekarang.

Beliau berkata konsep pembelajaran berpusatkan kepada pelajar mestilah diperkukuhkan di sekolah-sekolah supaya para pelajar dapat menguasai kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran berfikir, berkomunikasi dan bekerja dalam kumpulan.

“Guru-guru perlulah bersedia mengubah cara dan kaedah mereka.

“Sebagai pengajar mereka (guru-guru) perlulah berilmu dan bertindak sebagai fasilitator, di mana proses pembelajaran akan dilakukan oleh pelajar itu sendiri,” jelasnya.

Beliau turut menyokong usaha-usaha kerajaan untuk mengurangkan tugas pengkeranian guru termasuk mewujudkan pembantu-pembantu guru, agar dapat memberi lebih ruang kepada guru untuk menumpukan pada tugas hakiki mereka.

Pada masa sama, Mohammad Shatar berkata guru dan bakal guru perlu peka dengan perubahan dan perkembangan semasa negara seperti revolusi industri 4.0.

Pemansuhan peperiksaan tahap 1

Selaras dengan matlamat mengurangkan beban guru, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan Peperiksaan Tahap 1.

Maszlee berkata langkah itu diharap dapat mengurangkan tekanan kepada guru dan murid daripada sistem pendidikan berasaskan peperiksaan selain menggalakkan pembelajaran yang menyeronokkan.

Pembelajaran yang tidak berasaskan peperiksaan akan turut menggalakkan lagi interaksi dan kerjasama antara ibu bapa dan guru dalam membangunkan potensi murid termasuk mengenal pasti kebolehan dan kemahiran anak mereka dalam bidang tertentu serta kelemahan yang perlu diperbaiki.

Selain itu, guru-guru juga mempunyai ruang untuk lebih kreatif dalam pembelajaran selain berpeluang melihat aspek diri mereka yang perlu penambahbaikan, katanya baru-baru ini.

“Apabila membuat pentaksiran menyeluruh, guru akan dapat mengesan apa yang kurang diberinya kepada murid…beliau akan cuba perbaikinya. Kita bukan sahaja jadikan sekolah untuk pembangunan murid semata-mata, tetapi pembangunan untuk guru juga,” katanya.

Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan laporan penilaian awal berhubung langkah pemansuhan itu, yang melibatkan 1.3 juta murid di seluruh negara, pada Jun ini.

Langkah positif

Ainul Fadzillah Mustafa, ibu Arreessa Zulaikha, 9, yang bersekolah di sebuah sekolah rendah kebangsaan di Shah Alam, menyifatkan langkah itu sebagai suatu yang positif dan perlu disokong semua pihak.

“Kalau dilihat kepada pencapaian akademik sahaja, memang merisaukan sebab tanpa peperiksaan, kita sukar mengesan subjek lemah anak.

“Tetapi, saya percaya pendidikan sepatutnya lebih daripada skop akademik. Pendidikan sepatutnya menjadikan seseorang itu kreatif, selain ada sikap kasih sayang dan nilai murni,” kata usahawan wanita itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terlalu awal untuk menilai langkah itu yang baru empat bulan dilaksanakan.

Eksekutif kanan media, Liew Kok Ling, juga bersetuju bahawa langkah memansuhkan peperiksaan itu adalah pembaharuan yang baik dalam sistem pendidikan negara.

Ini kerana, katanya, anak-anak dan ibu bapa sering tertekan menjelang setiap peperiksaan sekolah.

“Apa yang lebih penting sebenarnya adalah mengasah kemahiran seperti berkomunikasi, melakukan penyampaian dan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan,” kata ibu kepada sepasang anak itu.

Meskipun tiada peperiksaan, beliau berharap guru-guru akan memberi ujian berkala bagi menguji kefahaman murid dalam sesuatu subjek selain menilai kemajuan pembelajaran mereka.

Ruang sisi

Pelbagai inisiatif lain turut dilaksanakan Kementerian Pendidikan sejak kerajaan PAKATAN mengambil alih pentadbiran negara.

Antaranya ialah dengan mengeluarkan nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Kementerian juga menghapuskan proses audit bagi Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang dapat mengurangkan beban kira-kira 500,000 guru di seluruh negara, selaras dengan matlamatnya supaya guru memberi tumpuan kepada tugas hakiki berbanding kerja-kera perkeranian.

Kementerian Pendidikan turut menubuhkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) bagi menyemak dasar dan operasi sistem pendidikan agar sesuai dengan Revolusi Industri 4.0 selain membentuk nilai-nilai murni serta pengukuhan sains dan teknologi.

Dalam pada itu, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) bagi memperkasakan bidang itu di Malaysia.

Selain itu, Kementerian Pendidikan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dengan memansuhkan Seksyen 15(2)(c) yang membenarkan mahasiswa berpolitik, sekali gus memberi mereka lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next