NASIONAL

Saifuddin: Nota bantahan terhadap pencerobohan nelayan Vietnam

KUANTAN, 5 MEI: Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Vietnam berhubung pencerobohan nelayan mereka ke perairan negara, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, nota bantahan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan kerajaan juga akan meminta penjelasan daripada kedutaan Vietnam di Malaysia berhubung perkara tersebut.

Malaysia juga berhasrat mengadakan rundingan mengenai penyerahan semula bot nelayan yang ditahan apabila perkara berkenaan selesai, katanya.

“Dalam kes pencerobohan perairan oleh nelayan asing, pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengusir atau menahan bot terlibat bergantung kepada perjanjian antara kedua-dua negara.

“Kita juga akan ikut prosedur ditetapkan jika menangkap nelayan asing di sini. Biasanya kita tidak suka menahan bot itu dalam masa yang lama dan menyerahkan semula bot itu selepas semuanya selesai,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau Parlimen Indera Mahkota di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media semalam, berhubung penahanan dua bot nelayan Vietnam oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Laut China Selatan kerana dipercayai sudah berada dalam perairan Malaysia.

Saifuddin juga berkata, kerajaan akan berusaha untuk mendapatkan semula lebih lima bot nelayan tempatan yang ditahan di Selat Melaka oleh pihak berkuasa Indonesia sepanjang tahun ini.

“Kita dan Indonesia mempunyai perjanjian iaitu nelayan dari kedua-dua negara yang melewati sempadan akan diusir kerana kita tidak menggalakkan bot-bot nelayan ini ditahan.

“Di Selat Melaka memang agak mudah nelayan tersasar kerana perairan yang sempit dan kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :