SELANGOR

‘Saya minta maaf jika tak sempat singgah’ – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 6 MEI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memohon maaf sekirannya beliau tidak berkesempatan singgah ke semua masjid dan surau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua sepanjang Ramadan.

Ketika majlis sumbangan Ihya Ramadan di sini, semalam beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata menjadi rutinnya sebelum ini mengunjungi kebanyakan masjid dan surau di situ sepanjang Ramadan.

“Tetapi sekarang saya tidak boleh janji, kerana apabila menggalas jawatan sebagai Menteri Besar, saya akan turut mengiringi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi program berbuka puasa baginda bersama rakyat.

“Memang setiap tahun saya ke Surau An Nur Taman Jasa dan juga Surau Al-Abrar di Selayang, tetapi kali ini saya minta maaf jika tidak dapat memenuhi undangan,” katanya.

Amirudin berkata, walaupun begitu beliau tidak pernah melupakan Dun Sungai Tua sebaliknya mahu melihat pembangunan turut dinikmati penduduk setelah beliau menjadi Menteri Besar .

“Oleh sebab itu akan ada tambahan peruntukan buat Sungai Tua, saya mahu melihat masjid dan surau menjadi medan transformasi perubahan positif komuniti dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Sumbangan Ihya Ramadan Dun Sungai Tua oleh MBI bertempat di Surau Al Jannah Taman Jasa Utama, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan lima masjid dan 26 surau DUN Sungai Tua menerima kira-kira RM360,000 dari Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor sempena bulan Ramadan, kali ini.

Terdahulu, pada 19 Jun 2018, Amirudin mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di Istana Alam Shah, Klang menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau adalah Menteri Besar Selangor ke-16 juga Ahli Dewan Negeri Selangor Sungai Tua.

 


Pengarang :