NASIONAL

Vivy Yusof dilantik Ahli Lembaga Pengarah UiTM

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 27 MEI: Pemilik empayar Kreatif Fashion Valet dan dUCk Group, Datin Vivy Yusof dilantik sebagai salah seorang daripada ahli lembaga pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Lantikan itu dikongsikan melalui laman rasmi facebook UiTM dan laman Instagram beliau, semalam.

“Alhamdulillah, saya diberi tugasan ini oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadi ahli lembaga pengarah termuda di UiTM dan saya berharap dapat memberi sumbangan dari segi idea dan pembaharuan universiti ini.

“Saya sangat menghormati pengerusi serta barisan ahli lembaga pengarah yang lain walaupun tidak memiliki pengalaman yang setara dengan mereka.

“Semoga sumbangan dari segi idea dan beberapa pembaharuan kepada UiTM mampu memberi manfaat kepada industri pendidikan dalam pelbagai cabang,” tulisnya menerusi akaun Instagram.

Vivy, graduan Ijazah Sarjana Muda lulusan undang-undang London School of Economic di United Kingdom berjaya menempa nama di persada antarabangsa selepas bergelar Pengasas FashionValet yang memasarkan lebih daripada 150 jenama tempatan di bawah satu bumbung.

Dalam dunia keusahawanan, Vivy meraih pelbagai anugerah antaranya Bella Business Award 2013, Women’s Weekly Malaysia’s Finance and Commerce Nominee untuk anugerah Great Women of Time Awards 2015, 60 Wanita Inspirasi Nona, Youn dan Entrepreneur Award daripada Tribute To Women Malaysia.

 


Pengarang :