RAUB, 2 JUN: Peluang berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi kenangan tersendiri buat warga emas Raub, Mahayuddin Abdullah, yang jelas tidak berhenti tersenyum apabila diminta ‘bercerita’ mengenainya.
Mahayuddin, 66, yang berasal dari Kampung Gali di sini berkata dia dan rakannya Mat Soad Duhsan, 65, bertolak dari rumah mereka seawal jam 4 petang, kerana perlu ‘menumpang kereta orang’ untuk ke majlis yang diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.
“Bukan senang untuk berbuka puasa dengan Sultan… dahulu semasa muda, kami pernah juga menghadiri majlis berbuka puasa dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (ayahanda kepada Sultan Abdullah). Seronok bila tradisi ini diteruskan. Kami dapat tahu (tentang majlis ini) daripada orang kampung.
“Sultan Abdullah benar-benar menurun sifat Almarhum Sultan Ahmad Shah. Kami sengaja berdiri di laluan masuk khemah makan dengan harapan dapat bersalaman dengan Sultan Abdullah. Cara baginda menegur, memang sama dengan cara ayahandanya bila bertemu rakyat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Abdullah berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama-sama hampir 3,000 penduduk Raub di masjid itu, yang turut dihadiri Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Datuk Muhaini Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman; dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.