–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA??
NASIONAL

Johor proaktif tangani insiden pencemaran Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 25 JUN: Kerajaan Johor sentiasa proaktif dalam menangani insiden pencemaran di Pasir Gudang sejak Khamis lepas, sekali gus membidas dakwaan sesetengah pihak kononnya agensi-agensi kerajaan lambat bertindak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, setiap agensi-agensi kerajaan sejak hari pertama kejadian telah bertungkus lumus dalam menangani insiden pencemaran terbaharu itu.

“Sejak hari pertama lagi, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia dan Pejabat Daerah, antara agensi-agensi yang menjalankan tugas untuk menangani isu ini dengan segera.

“Tidak ada satu pun agensi kerajaan yang tidak memainkan peranan. Semua memainkan peranan dengan baik sehingga ke hari ini. Saya menangkis dakwaan bahawa agensi kerajaan tidak menjalankan tugas,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai kerajaan negeri tidak bertindak segera dalam menangani isu pencemaran berkenaan.

Menurut Mohd Khuzzan, setakat 12 tengahari tadi, tiada kes terbaharu berikutan pencemaran di Pasir Gudang dilaporkan.

Katanya kebanyakan mangsa-mangsa yang dirawat sebelum ini adalah pelajar-pelajar sekolah, terutama mereka yang berada di tingkat tiga dan empat ketika kejadian.

Setakat semalam, seramai 75 dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, dengan empat dari mereka masih dirawat di wad biasa.

Mengenai status kesihatan empat mangsa berkenaan, Mohd Khuzzan berkata perkara itu akan dimaklumkan dalam satu sidang media petang nanti.

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan melihat kepada keperluan mewujudkan zon penampan antara kawasan industri dan kawasan perumahan dalam usaha mencegah dari berlaku pencemaran berulang seperti di Pasir Gudang.

“Buat masa ini, fokus kita untuk memastikan operasi di bawah Jawatankuasa Bencana Daerah berjalan lancar dalam usaha menyelesaikan isu ini.

“Lepas ini, untuk wujudkan Jawatankuasa Pemantau Pasir Gudang untuk masa datang untuk lihat keperluan kawasan zon penampan antara kawasan industri dan perumahan,” kata beliau.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dengan bakal jemaah haji rombongan kerajaan negeri di sini.

— BERNAMA

 


Pengarang :