NASIONAL

Kenderaan meningkat namun trafik terkawal – PLUS

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar dan terkawal setakat 9 malam ini, walaupun terdapat peningkatan jumlah kenderaan.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad, ketika dihubungi berkata, aliran trafik menuju ke utara dan selatan masih lancar.

“Aliran trafik sedikit perlahan sejak petang tadi dari Port Dickson menuju Kawasan Rehat dan Rawat Sebelah Senawang namun keadaan trafik masih terkawal.

“Lain-lain kawasan di lebuh raya PLUS, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Jambatan Pulau Pinang setakat ini dilaporkan masih lancar,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah juga dilapor lancar setakat ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA


Pengarang :