BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN tekad pertahan kedaulatan, perkasa perlembagaan

MUAR, 1 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tetap akan mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam biarpun terdapat dakyah-dakyah yang disebarkan menerusi aplikasi Whatapps menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub berkata, kerajaan pimpinan PAKATAN sentiasa mempertahankan kedaulatan dan perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Jangan dengar dakyah dan fitnah yang sentiasa disebarkan dalam ‘whatapps group’ kononnya kerajaan tidak lagi menganggap Islam, bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu sebagai asas perjuangan kita.

“Sebagai anggota jemaah menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, saya memegang taat setia kepada negara ini, dan kita perlu pertahan hatta dengan nyawa sekali pun,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa anjuran AMANAH Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Batu 3, Bakri di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.

Salahuddin berkata, rakyat seharusnya menjadikan kekacauan yang berlaku di negara jiran baru-baru ini selepas pilihan raya umum dan pemilihan presiden sebagai iktibar untuk mengelakkan pecah belah.

“Kita perlu elakkan seperti yang berlaku di negara itu sehingga mengakibatkan korban nyawa kerana isu yang dimainkan ekstreme agama dan bangsa.

“Kita adalah negara Malaysia yang aman sejahtera, pada tahun lalu menyaksikan proses peralihan kuasa kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berlaku dengan lancar dan tanpa pertumpahan darah, yang kalah menerima hakikat dan yang menang membentuk kerajaan dan ini adalah tanggungjawab kita untuk pertahankan keharmonian negara ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :