PBTSELANGOR

Kota Anggerik harap hubungan lebih erat dengan Datuk Bandar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 JUN : Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi berharap supaya hubungan lebih erat diwujudkan dengan Datuk Bandar Shah Alam yang baharu, Dato’ Haris Kasim.

Najwan berkata, kerjasama lebih baik diantara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan juga pihaknya itu bagi menjamin kesejahteraan warga Shah Alam.

“Pelbagai perkara sudah dibincang bersama beliau termasuk isu penambahbaikan perkhidmatan, infrastruktur, penguatkuasaan dan lain-lain,” katanya selepas melakukan kunjung hormat ke atas Haris yang baru mengangkat sumpah hari ini.

Mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu sebelum ini telah melapor diri dan bertugas di MBSA mulai 3 Jun lalu.

Beliau yang berusia 56 tahun itu sebelum ini juga pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (2005 hingga 2011), Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (2011) dan Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (2012 hingga 2014).

 


Pengarang :