NASIONAL

Maritim Malaysia patah cubaan seludup rokok

LUMUT, 11 JUN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk pelbagai jenama rokok dari negara jiran dalam operasi awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata menerusi Op Pagar Laut pukul 2 pagi, pihaknya merampas lebih 66,000 kotak rokok dari sebuah bot pancung, kira-kira 0.2 batu nautika dari muara Sungai Bernam, Hutan Melintang.

Katanya rokok yang dirampas terdiri daripada 59,600 kotak rokok kretek jenama Surya dan 7,000 kotak rokok kretek jenama Nusantara Hijau, kesemua dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri apabila pihak maritim hendak merapatinya.

“Bagaimanapun, semasa mengejar bot itu, empat lelaki yang tidak dikenal pasti kewarganegaraannya nekad terjun ke laut dan usaha mencari telah dijalankan namun kesemua mereka gagal ditemukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di sini hari ini.

Wan Mat berkata pihak Maritim Malaysia merampas bot pancung itu serta tiga enjin dengan anggaran keseluruhan rampasan termasuk rokok adalah RM1.2 juta iaitu yang terbesar di Perak tahun ini.

Beliau berkata kejayaan Op Pagar Laut itu hasil risikan dan pemantauan berterusan di samping gerak atur bot maritim sekaligus menyekat aktiviti penyeludupan rokok yang dipercayai untuk pasaran Perak dan Selangor.

“Kita juga akan mempertingkatkan pemantauan yang disyaki laluan penyeludup di kawasan ‘hot spot’ supaya kegiatan penyeludupan rokok dapat dibanteras,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :