NASIONAL

Pegawai bank rugi RM3 juta ditipu sindiket Love Scam

KEPALA BATAS, 8 Jun : Seorang pegawai bank kerugian lebih RM3 juta selepas wanita itu terpedaya dengan janji manis seorang lelaki yang dikenali menerusi laman sosial dipercayai sindiket ‘Love Scam’ baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata berdasarkan siasatan, wanita berusia 51 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai John Eric Chen melalui aplikasi laman sosial iaitu Coffee Meet Bagel Dating App pada Ogos tahun lepas.

“Hubungan mangsa dan lelaki itu menjadi akrab sebelum mereka berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan suspek kemudiannya telah menawarkan wanita berkenaan untuk bekerjasama dalam perniagaan Shell yang akan memberi keuntungan bernilai US$25 juta (RM103.7 juta),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya suspek juga berjanji akan berkahwin dengan mangsa dalam masa terdekat dan berikutan janji manis itu, wanita berkenaan terpedaya serta mula memasukkan wang ke akaun lelaki tersebut.

Beliau berkata lelaki itu meminta mangsa membuat pembayaran pendahuluan sebanyak US$38,000 (RM157,624) untuk memulakan kerjasama berkenaan.

Noorzainy berkata berikutan percaya dan cinta terhadap lelaki itu, mangsa telah melakukan sebanyak 19 kali pemindahan wang ke dalam tiga akaun yang diberikan suspek sejak Ogos tahun lepas hingga baru-baru ini.

“Sepanjang tempoh berkenaan mangsa telah melakukan pindahan wang sebanyak US$815,331 iaitu kira-kira RM3.26 juta di mana duit itu merupakan wang gaji, hasil simpanan dan pinjaman daripada anggota keluarga wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata setelah mangsa memindahkan semua duit itu ke akaun lelaki berkenaan, suspek terus gagal dihubungi.

“Wanita itu membuat laporan polis pada 4 Jun lepas selepas percaya dia telah ditipu sindiket Love Scam dan polis menyiasat kes itu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah jatuh cinta dengan seseorang yang baru dikenali melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain serta tidak memindahkan wang kepada pihak tidak dikenali. -BERNAMA


Pengarang :