PBTSELANGOR

Penduduk mahu MDKS batal cadangan caj tempat letak kereta

 

KUALA SELANGOR, 10 Jun : Penduduk Bandar Puncak Alam, Bandar Saujana Utama dan Alam Jaya di sini, memohon agar Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membatalkan atau mengkaji semula cadangan pelaksanaan tempat letak kereta berbayar, yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Julai hadapan.

Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam (4PA), Mohd Hanif Md Sultan berkata, tindakan MDKS melaksanakan caj parkir dibuat, tanpa mengambil kira pendapat dan kedudukan ekonomi penduduk setempat terlebih dahulu.

“MDKS sepatutnya menyelesaikan semua masalah berbangkit, seperti kualiti perkhidmatan pembersihan yang kurang memuaskan, jalan raya yang kurang diselenggara, lampu jalan yang tidak berfungsi, dan masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk sekitar sini terlebih dahulu.

“Selain itu, kemudahan prasarana di Puncak Alam masih belum sempurna, seperti tiada balai polis, balai bomba dan bank, pejabat agensi kerajaan dan agensi penyedia utiliti juga tiada di sini lagi,” katanya pada pada sidang akhbar mengenai bantahan perlaksanaan tempat letak kereta berbayar di sini hari ini.

Sidang media itu turut disertai Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Khairul Annuar Jalaluddin serta lebih 16 pengerusi persatuan penduduk sekitar tiga kawasan itu.

Mohd Hanif yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Sinar Alam menambah, terdapat kawasan yang tidak wajar yang turut dikenakan bayaran seperti kawasan lot kedai di taman perumahan, walaupun bukan kawasan komersil.

“Tempoh tamat operasi caj parkir juga tidak munasabah sehingga jam 6.30 petang, sedangkan urusan pejabat tamat jam 4.30 petang hingga 5 petang,” katanya.

Sementara itu, Khairul Annuar berkata, pihaknya tiada menerima apa-apa notis rasmi berhubung perlaksanaan perkara itu.

“Kami tahu perkara ini pun melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook MDKS, dan bukannya melalui makluman rasmi mengenai pelaksanaan ini.

Tambah beliau, penduduk Saujana Utama sehingga kini masih membangkitkan mutu kerja MDKS yang kurang memuaskan, antaranya kemudahan lampu jalan rosak, jalan berlubang dan kutipan sampah tidak ikut jadual, sedangkan majoriti kawasan ini pembayar cukai.

“Kena tingkatkan mutu kualiti kerja dulu sehingga MDKS dinaik taraf kepada perbandaran, sebelum nak laksanakan caj parkir,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :