JASIN, 10 Jun — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga, kanan) semasa menyampaikan replika rumah kepada pemiliknya Hanizah Mohamed (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran Rumah Peduli Rakyat di Lipat Kajang hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Adly Zahari (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Hasim Hasan (kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Melaka bina rumah peduli untuk rakyat

 

JASIN, 10 Jun : Tun Dr Mahathir Mohamad mahu negeri lain mencontohi langkah tepat kerajaan negeri Melaka dalam membina Rumah Peduli pada harga yang rendah untuk rakyat termiskin dan golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri berkata beliau kagum dengan usaha dilaksanakan kerajaan negeri ini yang membantu kumpulan rakyat itu yang mempunyai tanah untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Beliau berkata sistem dibangunkan menerusi projek rumah tersebut adalah sesuatu amat baik dengan tawaran harga hampir RM40,000 selain mendapati rumah yang dibangunkan itu jauh lebih murah daripada projek lain.

“Saya harap sistem ini juga akan diguna pakai di negeri-negeri lain dengan adanya rumah sebegini murah maka dapatlah rakyat termiskin mempunyai rumah sendiri untuk mereka hidup lebih selesa,” katanya ketika berucap melancarkan Rumah Peduli Negeri Melaka, di Lipat Kajang, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Ketua Menteri, Adly Zahari dan barisan exco kerajaan negeri.

Dr Mahathir berkata pendekatan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu bertepatan dengan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu untuk menyediakan satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, biarpun PH baru berusia setahun jagung memerintah, namun hasilnya sudah banyak tercapai daripada janji-janji yang dibuat lebih 60 peratus telah ditunaikan oleh kerajaan negeri Melaka.

Sementara itu, salah seorang penerima rumah itu Hainizah Mohamed, 35, berkata, kehadiran Syawal tahun ini lebih bermakna apabila beliau dan anak perempuannya dapat menyambut lebaran di rumah sendiri yang siap dibina bulan lalu.

Katanya, beliau yang kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya enam tahun lalu, sebelum ini, menumpang di rumah ibunya di Taman Merlimau Utara.

“Ibarat impian jadi kenyataan, ini juga rezeki anak saya sebab sebelum ini arwah suami pernah bercita-cita untuk mempunyai rumah sendiri namun tidak kesampaian tetapi pada Hari Raya kali ini kami dapat beraya di rumah ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, Sabariah Mat Shah, 63, berkata, penantiannya untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila terpilih untuk menerima skim Rumah Peduli Rakyat.

“Sekarang ini saya hanya duduk di rumah sewa di Kampung Pulau Sebang yang dibayar oleh anak sulung saya sebanyak RM310 sebulan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :