Selangorkini
NASIONAL

Mahkamah benar warta notis pihak ketiga babit wang lebih RM6.16 juta

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang lebih RM6 juta yang disita daripada enam pihak termasuk parti UMNO, beberapa syarikat dan individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Enam pihak itu ialah Parti UMNO Negeri Kelantan, IPG Mediabrands Sdn Bhd, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Yayasan Tun Hussein Onn, Sim Sai Hoon dan Akademi Pemuda.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memohon tempoh dua bulan untuk pihaknya selaku pemohon melaksanakan proses pewartaan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan sebelum atau pada 5 Sept untuk pendakwaan mewartakan notis tersebut dan juga untuk pengurusan kes untuk empat responden iaitu Parti UMNO Negeri Kelantan, IPG Mediabrands Sdn Bhd, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Yayasan Tun Hussein Onn.

“Tarikh 18 Julai ditetapkan sebagai sebutan lantikan peguam bagi Sim Sai Hoon dan Akademi Pemuda (bagi dua responden),” kata Ahmad Shahrir.

Bagi satu lagi responden, Rayhar Travels Sdn Bhd, mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk mendengar permohonan pendakwaraya untuk mewartakan notis berikutan syarikat itu membantah permohonan pewartaan itu tanpa mendengar hujahan responden terlebih dahulu.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam notis usul itu, pendakwa raya memohon suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi supaya disiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) AMLATFPUAA) 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut apa-apa kepentingan dalam harta yang dirampas daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan. – BERNAMA


Pengarang :