AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: 1,200 ekor lembu diagih laksana korban

SHAH ALAM, 28 JUL: Kerajaan Negeri menyumbangkan 1,200 lembu untuk diagih kepada masjid dan surau serata negeri bagi tujuan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha, pada tahun ini.

Kesemua lembu gred AA dengan berat lebih 260 kilogram (kg) disumbangkan menerusi sembilan agensi di bawah naungan Kerajaan Negeri termasuk badan berkanun membabitkan jumlah keseluruhan RM6.45 juta.

Antara agensi terbabit ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Worldwide Holdings Berhad (WHB), Central Spectrum Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor dan KDEB Waste Management.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program saban tahun itu bagi memastikan golongan kurang berkemampuan termasuk fakir dan miskin dapat melaksanakan ibadah korban.

“Lembu ini akan diagihkan melalui penerima iaitu masjid, surau, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

“Mereka tentunya akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini, sementara di pihak orang yang menyumbangkan pula terpancar rasa gembira yang tidak terhingga kerana dapat membantu meringankan kesusahan menimpa saudara seislam.

“Diharapkan penerima dapat meneruskan usaha Kerajaan Negeri dalam mengerjakan ibadah korban pada tahun ini dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Serahan Perdana Program Sumbangan Lembu Korban Peringkat Selangor Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 2019, di Dewan Raja Muda Musa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan dan Pertanian Asas Tani, Ir Izham Hsahim; Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Tamby Omar Mohammed serta Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminuddin.

Pada masa sama, Amirudin mengingatkan, dalam konteks pengorbanan iaitu dengan mengorbankan sikap buruk ke arah kebaikan mampu membawa kepada kejayaan dalam sesebuah organisasi mahupun masyarakat.

Katanya, sikap sukakan perubahan yang lebih baik demi kemaslahatan rakyat perlu diterapkan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kita perlu ingat bahawa kejayaan yang dicapai melalui kerja berpasukan adalah lebih indah berbanding kejayaan individu.

“Oleh itu, kita harus bersama-sama menerajui perubahan daripada segenap segi sama ada mutu perkhidmatan, mutu kerja dan pencapaian demi membangunkan negeri dicintai ini,” katanya.

Umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut AidiAdha, pada 11 Ogos.


Pengarang :